Cari @ Amanz

Project Scarlett ialah nama kod untuk projek pembangunan konsol permainan akan datang daripada Microsoft, iaitu Microsoft Xbox Series X. Spesifikasi dalaman konsol ini telahpun diketahui, dan ia menggabungkan kuasa cip pemprosesan komputer AMD Zen 2 (Ryzen 3000) dan juga cip pemprosesan grafik akan datang RDNA2.

Selain daripada penambahan kuasa pemprosesan komputer dan grafik, SoC ini juga memperlihatkan ciri-ciri tambahan seperti sokongan untuk resolusi 4K pada kadar segar semula yang lebih tinggi, Ray-tracing dan sebagainya.

Melalui sebuah kicauan oleh YouTuber terkemuka Austin Evans, beliau telah memperlihatkan sebuah sistem dalam cip (System on a Chip) untuk Project Scarlett, dan apa yang menarik mengenai ini ialah SoC tersebut memperlihatkan negara manakah cip tersebut dibangunkan, dan nampaknya ia dihasilkan di Malaysia.

Ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana secara teknikalnya, AMD sudahpun mula membuat cip-cip pemprosesan mereka di sebuah kilang yang terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang sejak beberapa tahun yang lalu.

Walaupun begitu, ia adalah agak menarik bahawa AMD telah membangunkan SoC untuk peranti konsol Microsoft tersebut di Malaysia, kerana kebarangkalian untuk kita mendapatkan sokongan rasmi untuknya agak rendah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd