Pada awal tahun ini, Dell telah mengemaskini komputer riba Dell XPS 13 mereka dengan rekaan dan spesifikasi dalaman yang baru. Nampaknya mereka telah mengemaskini dua lagi model tambahan, iaitu Dell XPS 15 dan XPS 17.
NotebookCheck telah melaporkan bahawa gambar Dell XPS 15 dan 17 telah tertiris di laman web Dell sendiri, dimana kedua-dua model tersebut tampak hadir dengan rekaan yang baru.
Pertama ialah paparan untuk kedua-dua komputer riba ini nampaknya hadir dengan nisbah paparan 16:10 dengan resolusi setinggi 3840 x 2400. Melalui gambar yang diperlihatkan, dagu paparan juga dilihat jauh lebih nipis daripada paparan sebelum ini, dan ini memberikan pengguna saiz paparan yang lebih besar didalam saiz bingkai yang sama.
Kedua-dua Dell XPS 15 dan 17 ini juga hadir dengan pembesar suara yang dikemaskini semula, dimana gril pembesar suara diletakkan di kedua-dua sisi dan juga menghadap keatas untuk bunyi yang lebih kuat.
Melalui gambar yang sama, ia juga boleh dikatakan bahawa kedua-dua model Dell XPS ini akan hadir dengan sokongan untuk palam USB Type-C sahaja, sama seperti apa yang dilihat pada komputer riba Dell XPS yang dikeluarkan pada tahun lepas dan tahun ini.
Sama seperti spesifikasi dalamannya, tarikh pelancaran model-model Dell XPS 15 dan XPS 17 tidak diketahui lagi buat masa ini.