Honor Malaysia hari ini telah melancarkan beberapa produk baru untuk pasaran tempatan, termasuk salah satunya adalah Honor 9X Pro. Ia merupakan telefon pintar pertama yang hadir untuk pasaran tempatan menggunakan Huawei AppGallery menggantikan Google Play Store sebagai kedai aplikasi untuk muat-turun aplikasi.
Honor 9X Pro hadir dengan skrin 6.59-inci, dijana cip Kirin 810, menggunakan tri-kamera belakang dengan sensor utama 48-megapixel, selain kamera hadapan pop-naik. Telefon pintar ini turut menyertakan sokongan penyejukkan berasaskan cecair untuk penggunaan bagi tempoh masa lama dengan lancar.
Di Malaysia, Honor 9X Pro akan ditawarkan pada harga RM999 dan dijual bermula 17 April 2020 ini. Pembelian telefon pintar ini juga akan menerima gelang tangan pintar Honor Band 5i secara percuma – sementara stok masih ada.