Cari @ Amanz

Ekoran peningkatan mendadak wabak Covid-19, semua bandar-bandar utama seluruh dunia termasuk Malaysia kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Covid-19 memberi impak dahsyat sehingga menjejaskan banyak pergerakan dan aktiviti seharian. Ekoran daripada itu, orang ramai dilihat mencari alternatif bagi mengisi masa lapang bersama keluarga, rakan-rakan ataupun orang yang tersayang.

Salah satu aktiviti kini tidak lagi boleh dilakukan adalah meluangkan masa santai  menonton filem-filem kegemaran bersama rakan-rakan. Tapi bagaimana? Tambahan pula kini masing-masing berjauhan. Jangan risau, jangan bimbang kerana kami boleh bantu anda. Berikut kami senaraikan empat aplikasi menarik yang boleh anda gunakan untuk menonton video secara serentak bersama teman rapat. Lebih menarik, langkah – langkah untuk menggunakan kesemua aplikasi dan platform ini juga adalah sangat mudah.

Rave 

Rave adalah sebuah aplikasi rangkaian penstriman sosial yang membolehkan anda menonton video bersama rakan-rakan secara atas talian. Aplikasi ini menawarkan penstriman video dengan pilihan platform popular seperti Youtube, Netflix dan banyak lagi yang boleh diakses dengan mudah. Bukan sekadar menonton, anda juga boleh berbual dengan rakan-rakan pada masa yang sama.

Sistem perkhidmatan pesanan juga boleh dilakukan menggunakan emoticon comel, simbol dan banyak lagi. Aplikasi ini juga mempunyai reka bentuk yang mesra pengguna sekaligus menjadikannya antara yang paling menarik. Aplikasi ini boleh didapati di iOS dan Android. Berikut adalah langkah – langkah mudah untuk menggunakan aplikasi ini :

  1. Muat turun aplikasi Rave menerusi Play Store / App Store.
  2. Buka aplikasi & anda akan diberikan tutorial ringkas. Tatal skrin ke kiri sehingga pengguna dapat mengakses ke skrin utama.
  3. Log masuk (terdapat beberapa pilihan sama ada menggunakan akaun Facebook, Twitter atau Google) 
  4. LAplikasi akan meminta kebenaran untuk mengakses Lokasi pengguna . Klik “Okay” dan “Allow” pada pop up yang keluar.
  5. Pada skrin utama, anda boleh memilih untuk menyertai sesi tontonan yang sedang ditayangkan atau membuat sesi baru dengan menekan ikon ” + “
  6. Sekiranya ingin membuka sesi tontonan baru, anda akan diberi pilihan aplikasi tontonan – seperti Netflix, YouTube dan sebagainya
  7. Gunakan kotak carian untuk memilih video yang ingin ditonton bersama.
  8.  Untuk menjemput rakan-rakan, klik pada ikon ‘kawan’ kemudian pilih kenalan. Anda juga boleh menjemput secara langsung melalui WhatsApp dengan menghantar pautan jemputan (pastikan rakan anda telah memasang aplikasi ini terlebih dahulu). 

Watch2Gether

Watch2Gether merupakan salah satu aplikasi yang membolehkan anda menonton video atau filem kegemaran bersama rakan-rakan secara atas talian. Menariknya mengenai aplikasi ini, anda tidak perlu mempunyai sebarang akaun berdaftar sebaliknya ia boleh ditonton secara langsung dengan membuat bilik tontonan khas. Perkara yang paling penting ialah ia boleh digunakan secara percuma dan menaarkan sokongan pada pelbagai laman seperti YouTube, Vimeo, Twitch, Instagram dan Facebook.

Melalui aplikasi ini juga, ia menawarkan skrin yang berasingan untuk berbual di mana anda boleh berborak dengan rakan-rakan anda sambil menonton video. Sama seperti Rave, ia juga memberi anda pilihan untuk menyertai sesi tontonan yang sedang ditayangkan atau membuat sesi baru dengan menjemput rakan-rakan anda sendiri. Watch2gether juga memberikan anda kebebasan untuk memilih muzik atau video daripada sejumlah besar platform terkenal dengan hanya carian tunggal. Aplikasi ini mudah digunakan dan berikut adalah langkah – langkah untuk mengakses.

  1. Klik pada pautan ini (www.Watch2Gether.com)
  2. Klik pada tab “Create Your Room”.
  3. Gunakan kotak carian untuk memilih video yang ingin ditonton bersama.
  4. Pada bahagian bawah, terdapat ikon “user” kemudian klik ikon ” + ” 
  5. Salin pautan jemputan dengan klik “Copy”  dan hantar pada kenalan anda.

Netflix Party 

Seterusnya adalah Netflix Party. Ia  berbeza dengan dua aplikasi di atas kerana memerlukan setiap rakan memiliki akaun Netflix. Antara ciri menarik ialah sekiranya anda menjedakan video yang sedang ditonton, video pengguna lain yang lain juga akan dijedakan secara automatik,

Ia turut dilengkapi dengan kotak perbualan teks yang ditempatkan pada bahagian sisi skrin untuk berborak dengan rakan-rakan sambil menonton video. Secara tidak langsung, anda boleh berkongsi pendapat atau mungkin membincangkan plot cerita yang sedang ditonton bersama.

Satu kekurangan ialah ia hanya boleh diakses menerusi pelayar Google Chrome di komputer sahaja. Bagaimana untuk menggunakannya? Berikut adalah langkah-langkah mudah yang perlu dilakukan

  1. Anda harus memiliki Netflix dan Google Chrome di komputer.
  2. Klik pada pautan ini untuk muat turun pemalam Netflix Party
  3. Selepas memasang pemalam tersebut, buka video yang ingin anda tonton.
  4. Tekan butang “NP” yang terdapat pada sebelah atas pelayar Chrome anda. Kemudian tekan ‘Start Party’.
  5. Salin pautan yang keluar dan dan kongsikannya dengan kenalan.
  6. Kenalan yang mendapat pautan tersebut, perlu menampak pautan pada pelayar Chrome mereka, kemudian tekan butang NP untuk sertai Netflix Party yang anda mulakan.
  7.  Satu kotak perbualan akan muncul pada sebelah kanan pelayar web dan anda boleh berborak menerusinya.

Scener 

Sama seperti Netflix Party, Scener bukan sahaja membolehkan anda menonton video atau filem kegemaran secara serentak tetapi anda juga boleh berbual sesama sendiri bersama rakan – rakan. Jika anda mencari cara mudah untuk menonton sambil beramah mesra bersama rakan – rakan, ini adalah antara yang terbaik.

Ia juga menawarkan pelbagai ciri sembang asas yang menarik termasuk reaksi Bitmoji serta ruang sembang yang lebih besar. Anda juga boleh menjemput lebih daripada 10 orang rakan – rakan.  Berikut adalah langkah – langkah untuk menggunakan aplikasi ini :

  1. Anda harus memiliki akaun Netflix dan Google Chrome di laptop
  2. Klik pada pautan ini untuk muat turun Scener
  3. Setelah Scener dimuat turun, log masuk akaun Netflix
  4. Klik pada “Create a private group” & kemudian klik “Next” 
  5. Salin pautan yang keluar dan kongsikan dengan kenalan ( pastikan rakan anda juga mempunyai akaun Scener dan Netflix ) 
  6. Sebaik sahaja mereka telah sertai, klik butang  “Watch Together” 

**Sekiranya, rakan anda sudah memiliki akaun, anda hanya perlu nama pengguna pada kotak carian pada sudut kanan atas dan klik butang “Add Friend” bersebelahan nama mereka. 


Berikut adalah beberapa aplikasi dan platform yang dapat membantu anda menonton video bersama keluarga, rakan-rakan ataupun orang yang tersayang sepanjang tempoh PKP ini. Selain dapat meluangkan masa yang berkualiti, ia juga dapat merapatkan hubungan yang jauh. Apa -apa pun, ikutilah saranan kerajaan untuk duduk di rumah, pembatasan sosial, amalkan kebersihan dan kita pasti menang dalam menangani Covid -19 ini. Ingat jangan pentingkan diri sendiri dan jangan buat sesuka hati tanpa fikir orang lain. Duduk Di Rumah!

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd