Kerajaan Selangor Bekerjasama Dengan Grab Untuk Membangunkan Perkhidmatan E-Bazar Ramadan

Kerajaan Selangor Bekerjasama Dengan Grab Untuk Membangunkan Perkhidmatan E-Bazar Ramadan

Diterbitkan pada Apr 8, 2020 oleh .

Pada minggu lalu, kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan bahawa bazar juadah yang biasanya akan diadakan sepanjang bulan Ramadan telah dibatalkan. Ini menyebabkan ramai peniaga mengeluh kerana penjualan makanan di bulan Ramadan adalah salah satu mata pencarian yang paling menguntungkan untuk mereka.

Hari ini, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari telah mengeluarkan satu pengumuman bahawa pihak kerajaan negeri akan bekerjasama dengan syarikat teknologi Grab MY untuk membangunkan sebuah ekosistem E-Bazar Ramadan tidak lama lagi.

Melalui sebuah kicauan di Twitter, beliau berkata bahawa platform Grab akan digunakan untuk merumahkan gerai-gerai sepanjang waktu Ramadan ini, dan pelanggan boleh membeli juadah-juadah untuk berbuka puasa, dimana pihak Grab kemudiannya akan menghantar makanan-makanan tersebut terus ke rumah anda.

15 lokasi di sekitar Selangor juga telah dikenalpasti sebagai tapak untuk dapur berpusat (central kitchen) yang boleh digunakan para peniaga untuk memasak juadah-juadah tersebut.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui apakah mekanisma yang akan digunakan oleh kerajaan negeri untuk memberitahu peniaga manakah yang berpeluang menggunakan platform E-Bazar Ramadan ini.

Kemaskini: Pihak Grab Malaysia telah membangunkan sebuah laman web untuk platform E-Bazar ini, dan melaluinya, terdapat beberapa soalan FAQ yang menjawab tentang siapa yang boleh mendaftar untuk E-Bazar ini, dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh peniaga untuk mendaftar.

Secara ringkas, Grab mengatakan mereka hanya akan menerima pendaftaran melalui pihak majlis perbandaran, dan para peniaga yang ingin memasuki platform ini diminta berbincang dengan pihak tersebut terlebih dahulu.

Untuk pengetahuan lebih lanjut, anda boleh layari laman web Grab.

Kemaskini kedua: E-Bazar Grab juga akan dijalankan di kawasan bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menurut poster ini yang dikeluarkan oleh Grab.



TIPS & ULASAN