5 Perkhidmatan Penghantaran Yang Boleh Digunakan Sepanjang PKP

5 Perkhidmatan Penghantaran Yang Boleh Digunakan Sepanjang PKP

Diterbitkan pada Apr 8, 2020 oleh .

Perdana Menteri mengingatkan kita untuk duduk di rumah sambil menonton filem. DG Hisham juga bersetuju dan menggesa semua rakyat Malaysia untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana usaha untuk merendahkan lengkung mula menampakkan kejayaan.

Tetapi hidup mesti diteruskan dan kami yakin ada di antara pembaca yang masih perlu menghantar barangan kepada sanak saudara atau rakan pada waktu ini. Keadaan ini menjadikan pergerakan agak terhad terutamanya untuk hampir semua aspek kehidupan seharian memandangkan kita perlu mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, usah terlampau risau mengenainya kerana anda masih boleh melakukan penghantaran barangan menerusi beberapa pengendali perkhidmatan penghantaran yang masih dibenarkan beroperasi. Dengan lima perkhidmatan di bawah anda tidak perlu keluar rumah merentas sekatan jalan raya semata-mata untuk menghantar keropok lekor yang dipesan oleh ibu.

1.Lalamove

Lalamove merupakan merupakan salah satu nama besar dalam industri khidmat penghantaran di Malaysia. Ia menawarkan pelbagai perkhidmatan penghantaran barang termasuk dokumen, makanan dan banyak lagi.  Dengan aplikasi yang boleh diakses menerusi peranti pintar dan komputer, Lalamove sentiasa menghubungkan pengguna dengan penghantar sekaligus membolehkan anda menjejak penghantaran dalam masa nyata dan tempahan yang terjamin.  Tanpa rasa ragu dan was-was lagi kerana barang anda dijamin sampai cepat.

Lebih menarik, ia juga menjanjikan penghantaran jarak dekat yang pantas dalam tempoh satu jam. Syarikat ini juga mempunyai pelbagai jenis kenderaan bagi memenuhi keperluan yang berbeza seperti lori, kereta, van, dan motosikal.

Buat masa ini, Lalamove hanya membuat penghantaran di Lembah Klang sahaja. Bersedia untuk membuat pesanan penghantaran dengan Lalamove? Ikuti langkah mudah di bawah

  1. Muat turun aplikasi Lalamove menerusi Google Play / AppStore
  2. Pilih kenderaan & tetapkan lokasi untuk pengambilan serta penghantaran
  3. Pilih jenis penghantaran (sama ada penghantaran berjadual atau penghantaran segera)
  4. Masukkan nota tambahan untuk perhatian penghantar Lalamove (sekiranya ada)
  5. Pilih kaedah pembayaran
  6. Sahkan pesanan anda untuk memulakan penghantaran.

Kadar penghantaran

Bermula dari RM5 untuk penghantaran menggunakan motosikal dan RM100 untuk penghantaran menggunakan lori. Setiap harga penghantaran dikira berdasarkan jarak dan bukan berat sesuatu barang.

2.Mr Speedy

Mr Speedy juga merupakan salah satu pengendali khidmat penghantaran yang boleh anda cuba dan ia menawarkan penghantaran barang dalam tempoh satu hari sahaja. Menarik mengenai aplikasi ini anda boleh menempah penghantaran barang tanpa perlu membuat akaun sebaliknya hanya menyertakan nombor telefon pengirim dan penerima sahaja.

Akan tetapi, sekiranya anda bercadang untuk menggunakan aplikasi ini lebih daripada satu kali, anda dicadangkan untuk membuat akaun bagi membolehkan anda mengakses setiap butiran pesanan termasuk pencetakan resit, sejarah pesanan dan banyak lagi.

Anda juga boleh menghantar pelbagai barangan seperti dokumen penting, bungkusan, makanan dan banyak lagi. Anda hanya perlu bungkuskan sahaja dan tempah pemandu untuk mengambil barang anda. Berbeza dengan Lalamove, aplikasi ini hanya menyediakan dua jenis kenderaan sahaja iaitu kereta dan motosikal. MrSpeedy membuat penghantaran di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Cyberjaya, dan Putrajaya sahaja. Ikuti langkah mudah di bawah untuk memulakan tempahan :

  1. Muat turun aplikasi MrSpeedy menerusi Google Play Store / Apple App Store
  2. Daftar akaun (sekiranya tidak mahu mendaftar, anda hanya perlu klik pada create order)
  3. Pilih jenis penghantaran (sama ada penghantaran barang atau penerimaan barang)
  4. Pilih jenis kenderaan  (sama ada motor atau kereta)
  5. Masukkan maklumat yang diperlukan
  6. Selesai mengisi maklumat, klik pada butang “create order” untuk sahkan pesanan anda dan memulakan penghantaran.

Kadar penghantaran

  • Perkhidmatan menggunakan motor – Bermula RM5 untuk jarak 5km pertama dan RM1 untuk setiap km berikutnya. Caj sebanyak RM2 dikenakan untuk alamat tambahan. Berat maksimum 10kg.
  •  Perkhidmatan menggunakan kereta – Bermula RM7 untuk jarak 7km pertama dan RM1.50 untuk setiap km berikutnya. Caj sebanyak RM4 dikenakan untuk alamat tambahan. Berat maksimum 40kg.

3.BungkusIt

Anda pernah mendengar mengenai BungkusIt? Ia mungkin antara yang paling tular di media sosial kerana penggunaan nama perkhidmatan yang berimejkan Malaysia. Apa yang membezakan BungkusIt dengan yang lain adalah ia beroperasi dengan rangkuman yang luas di mana anda bebas untuk memesan makanan dari mana sahaja walaupun tidak terdapat dalam senarai mereka.

Sebagai contoh, anda mahu membeli makanan di pasar malam atau mana-mana restoran yang tidak menyediakan servis penghantaran makanan, anda boleh menggunakan servis ini.  Apa yang penting, anda perlu tahu lokasi yang tepat dan masa operasi tempat berkenaan.

Bukan sekadar menghantar makanan, ia juga menawarkan perkhidmatan penghantaran barangan lain seperti dokumen penting, ubat-ubatan dan banyak lagi dalam tempoh yang pantas. BungkusIt juga boleh menghantar barang yang anda terlupa atau tertinggal menyerahkannya kepada anda. Perkhidmatan BungkusIt menawarkan penghantaran sehingga 500km dan ia tersedia di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan. Bagaimana menempah dengan BungkusIt? Mudah sahaja :

  1. Muat turun aplikasi BungkusIt menerusi Google Play Store / AppStore 
  2. Daftar akaun untuk memulakan penghantaran
  3.  Pilih jenis penghantaran (sama ada penghantaran berjadual atau penghantaran segera)
  4. Masukkan maklumat yang diperlukan (seperti : alamat untuk lokasi pick up dan drop off)
  5. Selesai mengisi maklumat, tekan pada butang “Next Step”
  6. Masukkan nota tambahan untuk perhatian penghantar mengenai apa yang anda mahu beli
  7.  Klik pada butang “submit” untuk sahkan pesanan anda dan memulakan penghantaran.

Kadar penghantaran

Kadar asas bermula pada RM7.50. Setiap harga penghantaran bergantung pada jarak restoran / tempat dengan lokasi anda.

4.GoGet 

Seterusnya adalah GoGet. Ia juga menawarkan pelbagai tugas perkhidmatan bantuan penghantaran barang dengan kadar yang sesuai termasuk makanan, barang dapur, dokumen penting dan sebagainya. Melalui GoGet, anda boleh memilih pelbagai perkhidmatan untuk digunakan seperti Dispatch (untuk pengambilan dan penghantaran barang), Helper (sekiranya anda memerlukan kakitangan separuh masa untuk masa yang singkat), Food (untuk pembelian makanan), Shopping (untuk pembelian barang yang terdapat di pasar raya) dan banyak lagi.

Pada masa sama, ia juga dapat membantu anda mencari duit lebih dengan menjadi seorang ‘GoGetter’ yang mana anda akan dibayar untuk setiap tugasan yang dilakukan. GoGet menawarkan perkhidmatan di sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

  1. Pergi ke lamagt GoGet atau muat turun aplikasi dari Google Play Store dan Apple App Store,
  2. Pilih perkhidmatan yang anda perlukan
  3. Masukkan maklumat yang diperlukan (Pastikan alamat dan jadual operasi lokasi adalah tepat. Sertakan deskripsi yang jelas seperti apa yang perlu, butiran item, saiz, berat dan sebagainya.)
  4. Selesai mengisi maklumat  tekan pada butang “Next”
  5. Masukkan maklumat yang diperlukan sekali lagi (seperti : alamat untuk lokasi pick, drop off dan jenis pembelian – sama ada berjadual atau segera)
  6. Buat pembayaran ke GoGetter (Pembayaran boleh dibuat melalui tunai / kredit GoGet)

Kadar penghantaran

Kadar asas bermula dari RM6. Setiap harga penghantaran bergantung pada jarak dan masa di ambil oleh GoGetters

5.GrabExpress

Akhir sekali ialah Grab Malaysia yang merupakan syarikat yang tidak asing lagi di kalangan penduduk di Asia Tenggara. Perkhidmatan penghantaran GrabExpress mereka masih beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP. Terdapat pelbagai jenis perkhidmatan di Grab untuk memenuhi keperluan ramai termasuk penghantaran makanan, penghantaran ekspres seperti dokumen, pengangkutan, perlindungan insurans dan banyak lagi.

Aplikasi ini sangat mudah digunakan kerana ia menyediakan antaramuka yang senang difahami. Bayaran boleh dibuat secara tunai ataupun dompet digital. Anda akan mendapat resit sejurus pembayaran dibuat yang dihantar menerusi emel berdaftar. Grab tersedia di seluruh bandar utama di Malaysia. Ikuti langkah mudah di bawah untuk menggunakan aplikasi ini.

  1. Muat turun aplikasi Grab menerusi Google Play Store / Apple App Store
  2. Pilih perkhidmatan yang anda perlukan
  3. Mula menempah dengan memasukkan maklumat diperlukan (Pastikan alamat lokasi adalah tepat)
  4. Sahkan tempahan untuk memulakan penghantaran

Kadar penghantaran

kadar penghantaran bermula dari RM 3.60 untuk motosikal dengan berat maksimum 10KG dan RM3,50 untuk kereta dengan berat maksimum 50KG. Namun begitu setiap bungkusan yang menggunakan Grab harus mempunyai berat maksimum 10KG sahaja setiap satu.


Sebenarnya banyak lagi pengendali khidmat penghantaran yang tersedia tetapi ini adalah di antaranya. Kelengkapan yang ditawarkan juga dah cukup semuanya, jadi alasan apa lagi untuk anda tidak kekal duduk di rumah? Duduk di rumah dan lindungi diri anda dan insan tersayang.


TIPS & ULASAN