Carian
Opensignal : Kelajuan Muat Turun 4G Di Malaysia Menjunam Teruk Sepanjang PKP
April 9, 2020 Effi Saharudin

Kita kini di minggu ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pasti ramai menyedari kelajuan Internet selular yang dinikmati terasa lebih perlahan berbanding sebelum ini. Apa yang rasakan kini disokong oleh data yang dikongsi di dalam laporan terkini Opensignal. Sepanjang tempoh PKP, kelajuan purata muat turun 4G di Malaysia kini ialah 8.8 Mbps sahaja.

Ini adalah penurunan sekitar 30% berbanding purata 13.5 Mbps sebelum tempoh sekatan dikenakan. Tambah menyedihkan ini meletakkan Malaysia antara negara dengan kelajuan muat turun 4G paling perlahan di dunia pada waktu ini. Malaysia di tangga 41 dari 42 negara menurut Opensignal dan hanya mampu mengalahkan Kemboja (8.3 Mbps). Singapura ialah negara dengan kelajuan muat turun 4G terbaik di rantau Asia Tenggara dengan 50.6 Mbps. Turun sedikit berbanding purata 53 Mbps sebelum ini,

Penurunan kelajuan muat turun 4G di Malaysia berlaku kerana semakin banyak pengguna bergantung kepada perkhidmatan Internet selular. Pada waktu yang sama hampir kesemua syarikat telekomunikasi selular menawarkan kuota data percuma atau menyingkatkannya sekaligus meningkatkan beban ke atas rangkaian.

Komen