MediaTek Didapati Menggunakan Taktik Keji Untuk Meningkatkan Skor Penanda Aras Peranti

MediaTek Didapati Menggunakan Taktik Keji Untuk Meningkatkan Skor Penanda Aras Peranti

Diterbitkan pada Apr 9, 2020 oleh .

Penipuan berkenaan skor aplikasi penanda-aras bukanlah sesuatu yang baru. Sejak beberapa tahun lepas, terdapat beberapa jenama peranti yang ditangkap menipu mengenai perkara ini.

Baru-baru ini, laman web teknologi terkemuka Anandtech telah melaporkan bahawa MediaTek didapati menipu didalam skor penanda-aras mereka melalui beberapa ujian yang dijalankan menggunakan beberapa versi peranti Oppo Reno 3 Pro.

Oppo Reno 3 versi antarabangsa dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Helio P95, manakala versi China pula, menurut Anandtech menggunakan CPU MediaTek Dimensity 1000 yang lebih baru dan sepatutnya lebih berkuasa.

Ujian awal mereka menggunakan penanda-aras PCMark mendapati bahawa peranti Reno 3 yang menggunakan MediaTek Helio P95 hadir dengan skor yang lebih tinggi berbanding dengan CPU Dimensity 1000.

Mereka kemudiannya meminta UL Benchmarks, pembangun aplikasi PCMark untuk salinan aplikasi yang disulitkan, dan mendapati bahawa CPU Helio P95 kini mempunyai skor keseluruhan 30 peratus lebih rendah, dan didalam beberapa ujian yang lain, 75 peratus lebih rendah berbanding sebelum ini.

Kajian tambahan mendapati bahawa didalam kod CPU Helio P95, MediaTek didapati mereka telah menulis kod dimana apabila aplikasi-aplikasi penanda-aras diaktifkan, prestasi CPU tersebut akan ditingkatkan kepada Sports Mode tanpa pengetahuan pengguna, dimana CPU dan peranti yang diuji akan menerima skor penanda-aras yang jauh lebih tinggi dari yang sepatutnya.

Menurut Anandtech lagi, ujian penanda-aras PCMark digunakan kerana ia adalah ujian yang paling dekat dengan penggunaan dunia sebenar, dan skor yang dikeluarkan dengan pendekatan ini adalah satu penipuan kepada pengguna, kerana diluar penggunaan aplikasi penanda-aras ini, mereka tidak akan mendapatkan tahap prestasi yang sama.

MediaTek juga telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini, dan melaluinya, mengatakan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, dan didalam isu ini, mereka hanya menunjukkan potensi maksima CPU Helio P95 mereka, dimana ia tidak akan mengubah prestasi sebenar peranti-peranti yang menggunakan SoC mereka.

Mereka juga mengatakan bahawa ini bukanlah sesuatu yang baru, dan taktik yang sama digunakan oleh pelbagai pembuat cip dan juga jenama-jenama peranti yang lain.



TIPS & ULASAN