Cari @ Amanz

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini telah berkongsi berkenaan sedikit perubahan corak penggunaan di Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac 2020 lepas.

Sejak pengumuman PKP, kadar penggunaan internet di kalangan pengguna tempatan telah meningkat mendadak. Ini termasuk dari segi penggunaan persidangan video, pembelajaran atas-talian, selain aktiviti atas-talian termasuk mengikuti kandungan dan menstrim video.

Ini, sekaligus membawa kepada peningkatan aliran trafik internet di seluruh negara. Menurut SKMM, mereka menyaksikan peningkatan sebanyak 23.5% dalam aliran trafik internet pada minggu pertama PKP, sementara minggu kedua pula menyaksikan peningkatan sebanyak 8.6%.

Perkara ini sekaligus memberikan kesan kepada pengalaman pelayaran pengguna. SKMM mengatakan peningkatan penggunaan data internet menyebabkan kesesakan dan penurunan pada kadar kelajuan muat-turun. Hal ini sekaligus membawa kepada pengalaman pelayaran web yang memerlukan tempoh masa lebih lama berbanding kebiasaan.

Selain untuk jalur lebar tetap, ia turut memberikan kesan kepada jalur lebar mudah-alih. Menurut laporan OpenSignal sendiri, kelajuan muat-turun 4G di Malaysia menjunam teruk sepanjang PKP ini.

Bagi anda sendiri, bagaimanakah pengalaman pelayaran web dan penggunaan internet sepanjang PKP ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd