Samsung Dilaporkan Akan Menghasilkan Cip Exynos Buatan Khas Untuk Google

Samsung Dilaporkan Akan Menghasilkan Cip Exynos Buatan Khas Untuk Google

Diterbitkan pada Apr 10, 2020 oleh .

Ramai yang tidak menggemarkan peranti Samsung kerana kebanyakan peranti mereka dijana dengan cip Exynos. Tetapi apakan daya, pembuatan cip Exynos adalah salah satu modal perniagaan Samsung. Terkini Samsung dilaporkan akan menghasilkan cip Exynos buatan khas untuk Google.

Exynos 990

Semua peranti Google, lebih-lebih lagi Pixel sentiasa menggunakan cip Snapdragon. Peranti-peranti lain walau bagaimanapun ada yang menggunakan cip buatan khas. Antaranya adalah peranti berhubung Google, seperti Nest Mini. Perkara ini kelak mungkin akan berubah, kerana Google mungkin akan menggunakan cip Exynos dari Samsung.

Cip ini dilaporkan adalah binaan 5nm LPE yang mempunyai dwi-teras Cortex-A78 CPU, dwi-teras Cortex-A76 CPU, dan empat-teras Cortex-A55 CPU. Ia juga mungkin  akan menggunakan GPU baharu dari ARM, Mali MP20 (kod nama Borr). Google turut dikatakan membuang bahagian ISP dan NPU dari Samsung, untuk menggunakan cip ISP dan NPU mereka tersendiri. Cip Exynos buatan khas ini dikatakan mungkin akan digunakan pada peranti Pixel, Chrome OS dan juga pelayan pusat data Google.

Tahun lepas Google dilaporkan pernah mencari pereka cip dari Broadcom, Intel, Nvidia dan Qualcomm untuk membina cip khas ini. Ini adalah kerana ingin kurangkan kebergantungan kepada Intel dan Qualcomm dalam membekal cip. Google turut dikatakan mempunyai pasukan pereka cip yang terdiri dari 16 orang veteran dalam bidang ini. Samsung turut dikatakan mempunyai pasukan khas yang ditubuhkan dalam bahagian “Device Solutions” baru-baru ini.

Cip Exynos buatan khas ini dikatakan akan mula digunakan seawal tahun ini. Namun masih tidak pasti lagi, apakah peranti atau produk yang akan dijana dengan cip ini. Mungkin Pixel 5? Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.



TIPS & ULASAN