Huawei Akan Memasuki Pasaran Cip Pemprosesan Grafik Khusus Untuk Kegunaan Pusat Data

Huawei Akan Memasuki Pasaran Cip Pemprosesan Grafik Khusus Untuk Kegunaan Pusat Data

Diterbitkan pada Apr 10, 2020 oleh .

Untuk syarikat-syarikat teknologi, industri enterprise dan pusat data boleh dikatakan pasaran-pasaran yang paling menguntungkan jika mereka boleh memasukinya.

Walaupun mereka kini sedang ditentang sengit oleh kerajaan Amerika Syarikat, Huawei Technologies nampaknya akan mencuba untuk memasuki pasaran cip pemprosesan grafik gred pusat data sekitar tahun ini.

Mereka dilaporkan akan membangunkan sebuah kumpulan awanan dan kecerdasan buatan (Cloud and AI Business Group) di Korea Selatan untuk membangunkan cip pemprosesan grafik tersebut. Malah, Huawei sedang mencari pakar-pakar didalam bidang ini untuk membangunkan solusi tersebut.

Pembangunan cip pemprosesan grafik ini boleh dikatakan sambungan kepada pelancaran cip pemprosesan kecerdasan buatan mereka, iaitu Ascend 910 yang mempunyai kemampuan memproses data setinggi 256 TeraFLOPS, dan dibina menggunakan teknologi 7nm+.

Buat masa ini, Huawei masih belum mendedahkan sebarang butiran mengenai cip pemprosesan grafik yang ingin dibina oleh mereka, tetapi kebarangkaliannya ialah mereka akan cuba untuk mencabar NVIDIA yang telah memegang takhta didalam industri ini untuk sekian lama dengan produk yang boleh menyaingi mereka dari segi prestasi dan juga tanda harga.



TIPS & ULASAN