Dengan Perintah Kawalan Pergerakan, ia telah membawa kepada perkembangan ekonomi digital dengan pesat – memperlihatkan peningkatan tempahan barangan melalui perkhidmatan edagang – terutamanya barangan runcit. Pihak Tesco tidak asing lagi dalam penawaran edagang, dan menariknya kini mereka turut hadir dengan penawaran serba-baru yang membolehkan tempahan melalui WhatsApp.
Melalui penawaran baru ini, pengguna boleh melakukan tempahan pesanan barangan runcit melalui WhatsApp, dan seterusnya mengambil barangan berkenaan di Tesco berkaitan pada hari sama.
Langkah ini akan mengurangkan masa yang diperlukan pengguna untuk membeli-belah, dan mengekalkan jarak sosial diantara yang lain. Tesco telah memperkenalkan perkhidmatan ini pada minggu ini, dan lebih 1000 pelanggan telah mula menggunakannya.
Perkhidmatan dinamakan Pesan & Ambil ini meliputi 53 daripada 60 cawangan Tesco di Malaysia. Dan setiap Tesco yang menyokongnya, hanya mengambil sekitar 100 pesanan pertama setiap hari. Setiap pesanan juga dihadkan kepada maksimum 25 barangan keperluan dapur.
Pelanggan boleh melakukan menggunakan nombor WhatsApp khusus untuk setiap cawangan bermula 8 pagi sehingga 4 petang, dan pengambilan perlu dilakukan sebelum 6 petang pada hari sama. Tiada sebarang caj untuk perkhidmatan Pesan & Ambil ini.
Dari segi proses, selepas pesanan diambil melalui WhatsApp, seorang Pembeli Peribadi Tesco akan memberikan anggaran masa, selain menghantar kod bar khusus untuk pengguna melakukan pembayaran – dan melakukan pembayaran di kaunter dan mengambil barangan anda.