Cari @ Amanz

Ekosistem Google untuk peranti-peranti berhubung adalah menggunakan asas Google Assistant. Pengguna boleh membuat kawalan segala peranti berhubung atau gajet pintar melalui arahan suara sahaja, dengan syarat setiap peranti/gajet itu telah ditambatkan melalui hab Google Home. Baik dari lampu pintar, mentol, pembesar suara, paparan, termostat, penghawa dingin dan pelbagai lagi – termasuk tombol pintu pintar.

Terkini, Google telah menambah tiga kategori peranti/alat baru untuk disertakan dalam ekosistem Google Home ini – iaitu televisyen, alat kawalan media dan juga kotak-set. Melaluinya, ia akan menyokong Google Assistant secara natif. Jika anda keliru, bukankah sudah ada pelbagai peranti Android TV tidak kira televisyen atau kotak-set sudah mempunyai sokongan Google Assistant? Jawapannya ya! Sejak 2018 lagi setiap peranti seperti Mi Box S, NVIDIA Shield TV, dan pelbagai lagi peranti Android TV lain sudah menyokongnya.

Cuma, setiap pengeluar bebas untuk tidak menyertakan sokongan ini. Ia tidak terbina terus dalam kod Android TV. Dengan kemaskini baru ini, Google telah menambah butiran dengan jelas agar para pembangun atau pengeluar boleh mengimplementasikan Google Assistant tanpa sebarang masalah. Google telah sertakan dalam dokumentasi Android TV mereka agar lebih banyak kawalan boleh dilakukan. Contoh, masih ada beberapa peranti Andorid TV dan aksesori mempunyai kawalan suara terhad – seperti hanya boleh hidup atau matikan dan tidak boleh mengawal aras suara dan sebagainya.

Dengan implementasi yang lebih jelas ini, peranti-peranti yang menjalankan Android TV atau aksesori untuknya boleh membuat lebih banyak kawalan seperti mengarahkan buka sesuatu aplikasi, mengawal main-balik media, aras suara dan banyak lagi. Kita hanya perlu tunggu pengeluar dan pembangun kemaskini peranti sedia ada untuk menggunakannya dengan lebih baik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd