Fon telinga nirwayar semakin popular selari dengan pupusnya bicu audio 3,5mm pada peranti pintar di pasaran. Terdapat ratusan fon telinga nirwayar di pasaran sekarang tetapi yang dihasilkan oleh Razer untuk pasaran China mungkin yang paling unik. Fon telinga Pokémon Pikachu True Wireless bukan sahaja mempunyai fon bertemakan Pikachu tetapi turut mempunyai pod pengecas berbentuk Pokeball.
Pokémon Pikachu True Wireless mampu beroperasi sehingga tiga jam dengan sekali caj dan sehingga 15 jam dengan sokongan pod pengecas yang disertakan. Ia sesuai digunakan untuk sesi bersukan atau Pokemon Go! kerana kalis air IPX4. Tambatan dilakukan menggunakan bluetooth 5,0. Ia walau bagaimanapun tidak mempunyai sebarang sistem pembatalan hingar aktif.
Sepasang Pokémon Pikachu True Wireless dijual pada harga RMB999 (~RM613) di China. Razer sudah beberapa kali menawarkan produk bertemakan Pokemon. Sebelum ini mereka telah melancarkan papan kekunci mekanikal dengan rekaan Pikachu.