Cari @ Amanz

Illegear nampaknya sedang sibuk memperkenalkan komputer-komputer riba baru. Sebelum ini mereka telah memperlihatkan kemaskini kepada siri komputer riba gaming sedia ada, dan telah memperkenalkan siri Ultrabook baru dibawah model Illegear IONIC.

Hari ini, mereka memperlihatkan siri komputer riba gaming baru dibawah nama Illegear Onyx G dan Onyx V, iaitu model komputer riba gaming premium yang hadir dengan pilihan GPU sehingga NVIDIA GeForce RTX 2070 Super.

Kedua-dua model komputer riba ini dilengkapi dengan paparan IPS hampir nirbingkai bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan pilihan kadar segar semula 144Hz ataupun 240Hz,

Illegear Onyx Display

Illegear Onyx V dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-10875H manakala Illegear Onyx G menggunakan CPU Intel Core i7-10750H dan pilihan memori kedua-dua komputer riba ini boleh diubahsuai sehingga 64GB jika diingini. Kedua-dua komputer riba ini juga mempunyai dua slot storan untuk storan SSD M.2 PCIe NVMe.

Dari segi pilihan kad grafik, anda boleh memilihh untuk mendapatkan kad grafik NVIDiA GeForce RTX 2060, RTX 2070 ataupun RTX 2070 Super jika diingini.

Satu lagi perbezaan diantara kedua-dua komputer riba ini ialah Illegear Onyx V dilengkapi dengan bateri 47Wh, manakala Illegear Onyx G menggunakan bateri sebesar 92Wh, Illegear Onyx G juga mempunyai papan kekunci mekanikal Geneswitch yang lebih selesa digunakan berbanding dengan papan kekunci komputer riba yang biasa.

Illegear Onyx V dan Onyx G sudah boleh ditempah di laman web Illegear pada harga bermula RM5499 untuk Illegear Onyx V dan RM6899 untuk Illegear Onyx G,

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd