Peranti Pixel tidak pernah terkenal kerana rekaannya yang menarik jika dibandingkan dengan peranti pengeluar lain di pasaran. Pixel 3 XL misalnya menerima kritikan hebat kerana penggunaan takuk gergasi sedangkan pasaran sudah mula berubah kepada peranti bertakuk kecil. Pixel 4 pula masih mempunyai dagu dan dahi besar serta sekadar dilengkapi dwi-kamera utama. Oleh itu rekaan konsep peranti Pixel Vector yang dihasilkan oleh Ferdinand Aichriedler menarik perhatian kami.
Peranti konsep ini mempunyai bahagian dagu dan dahi yang lebih nipis berbanding Pixel di pasaran sekarang. Tambah menarik ia masih mempunyai dwi-kamera hadapan tetapi tidak menggunakan takuk ataupun lubang kamera. Sebaliknya kedua-dua kamera swafoto diletakkan pada bahagian bucu sehingga hampir tidak kelihatan.
Identiti Pixel masih dikekalkan seperti panel belakang dwi-tona dan lubang kuasa dengan warna yang terang berbanding warna tubuh. Sisi yang diperbuat daripada logam dibulatkan bagi memastikan peranti selesa di dalam genggaman.
Kami tahu terdapat ramai peminat Pixel di kalangan pembaca Amanz kerana ia menawarkan penggunaan Android yang paling asli dengan kemampuan kamera yang baik. Penulis tidak tergolong di dalam golongan ini kerana rekaan Pixel yang dirasakan kurang menarik serta prestasi bateri yang mengecewakan. Jika anda diberikan kuasa untuk mereka peranti Pixel idaman oleh Google, apakah perubahan yang ingin anda lakukan pada peranti sekarang?