Kerajaan Negeri Johor Ingin Menubuhkan Bank Digital

Kerajaan Negeri Johor Ingin Menubuhkan Bank Digital

Diterbitkan pada Apr 16, 2020 oleh .

Bank Digital merupakan salah satu arena kewangan yang bakal menerima fokus ramai dalam masa tahun-tahun akan datang. Bank Negara Malaysia sendiri telah mengatakan bakal menawarkan sehingga lima lesen untuk bank digital.

Sebelum ini, ia telah diperkatakan antara syarikat yang berminat adalah termasuk Grab, Razer, AirAsia, Axiata dan CIMB dalam mendapatkan lesen bank digital di Malaysia.

Menariknya, terbaru Menteri Besar Johor telah berkongsi berkenaan penubuhan Jawatankuasa Reformasi Ekonomi Negeri (SERC) dan bank digital. Melaluinya, ia dinyatakan yang mana kerajaan negeri Johor bersetuju untuk menubuhkan bank digital. Berikut merupakan petikan pengumuman berkenaan:

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Johor juga bersetuju untuk menubuhkan Bank Digital bagi memanfaat dan merancakkan ekonomi digital serta ekonomi masa hadapan di negeri ini. Kewujudan Bank Digital ini akan menjadikan sektor kewangan lebih inklusift dan berupaya memberikan khidmat kewangan yang lebih berkualiti serta tanggungjawab bagi semua segmen pasaran.

Untuk makluman, perbankan digital terutamanya bidang teknologi kewangan sedang berkembang pesat ketika ini. Pada tahun 2014, 52% penduduk Asia Tenggara menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian, dan jumlahnya semakin meningkat kini.

Seperti ramai sedia maklum, bank digital akan menawarkan kemudahan untuk orang ramai membuka akaun simpanan melalui aplikasi atau web. Disamping simpanan, permohonan pinjaman dan lain-lain juga akan dilakukan secara digital – sekaligus memudahkan lagi pelbagai urusan perbankan.

Buat masa ini, perancangan penuh kerajaan negeri Johor untuk bank digital ini masih tidak diketahui. Dengan penularan wabak Covid-19, ia secara tidak langsung membawa kepada penggunaan perkhidmatan digital secara pesat, dan mungkin ini adalah salah satu usaha yang baik dalam terus memacu ekonomi negeri berkenaan. Mungkin kita akan mendengar lanjut berkenaan hal ini dalam masa terdekat ini.



TIPS & ULASAN