Sejak Intel mengumumkan pelancaran CPU Comet Lake terbaru untuk komputer riba mereka, pelbagai jenama telah mengemaskini pilihan komputer riba mereka dan juga memperkenalkan model-model baru yang dikuasakan oleh CPU-CPU tersebut.
HP adalah salah satu daripadanya, dan mereka baru-baru ini telah memperlihatkan kemaskini terbaru kepada model HP Envy 15 yang kini dikuasakan oleh CPU Intel generasi kesepuluh yang terbaru.
Bermula dengan paparan skrin, HP Envy 15 ini hadir dengan pilihan paparan IPS bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD ataupun panel OLED 4K yang dibina khusus untuk tujuan rekaan profesional.
Dari segi spesifikasi dalaman, ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i9 generasi kesepuluh, memori DDR4 dan juga pilihan untuk storan SSD PCIe sebesar 2TB yang boleh dikonfigurasi semula untuk menggunakan teknologi storan gabungan RAID0.
Oleh kerana HP Envy 15 ini direka untuk tujuan produktiviti, ia dimuatkan dengan cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 yang cukup berkuasa untuk mengolah kandungan dengan resolusi tinggi.
Ciri-ciri tambahan yang diperlihatkan pada komputer riba ini termasuklah sokongan untuk WiFi 6, Bluetooth 5 dan juga dua palam Thunderbolt 3 dan HDMI yang boleh digunakan untuk disambung pada tiga paparan tambahan.
Bukan itu sahaja, HP Envy 15 ini juga disejukkan oleh sistem penyejukan kebuk wap yang cekap, dan ini membolehkan komputer riba ini hadir dengan prestasi 33 peratus lebih baik berbanding dengan model-model yang lain.
Penggunaan cip pemprosesan baru ini juga membolehkan HP Envy 15 ini bertahan selama 16.5 jam dengan satu pengecasan penuh.
Menurut HP, komputer riba HP Envy 15 ini akan mula dijual di pasaran Amerika Syarikat pada harga bermula $1350 (~RM5400).