Cari @ Amanz

Pejam celik, pejam celik, sudah tiga generasi peranti Redmi Note di bawah jenama Redmi. Bermula dengan Redmi Note 7, antara peranti Redmi yang premium dan pertama kali menggunakan USB-C, bertemu dengan Redmi Note 8 dan kini Redmi Note 9S. Peranti Redmi Note asalnya bertujuan untuk menawarkan peranti yang mempunyai bateri besar, skrin cukup saiz dan sesuai untuk kegunaan produktiviti. Tetapi  makin lama, nama “Note” itu sudah tidak sesuai dengan apa yang ditawarkan.

Saya masih ingat, Xiaomi Redmi Note 2. Badan plastik, panel belakang boleh bertukar-tukar, bateri besar, skrin besar dan puas. Zaman sudah berubah, Redmi Note juga berubah. Tetapi masih kekal dengan penawaran harga yang menarik, cuma pengalaman penggunaan adalah seakan peranti Redmi biasa dan bukannya Redmi Note. Ini adalah artikel ulasan selepas saya menggunakan Redmi Note 9S selama beberapa minggu.


Spesifikasi

Redmi Note 9S
Skrin 6.67″ DostDisplay
IPS LCD, FHD+, 60Hz
Pemproses Snapdragon 720G, 8nm
Cip 2 x 2.3 GHz Kryo 465 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 465 Silver
Cip Grafik Adreno 618
RAM 4/6 Gigabyte
Muatan Dalaman 64/128 Gigabyte
(mikroSD sehingga 512GB)
Kamera Utama 48+8+4+2 Megapixel
f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.5
Bateri 5020mAh
(Pengecasan pantas 18W)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano + Slot Kad Memori
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Kalis Air Percikan Sahaja
Sistem Imbasan Cap jari fizikal di sisi
Harga Jualan RM 799/899

Redmi Note 9S menggunakan skrin IPS LCD 6.67″ DotDisplay (skrin berlubang), FHD+ dan 60Hz. Kualiti skrin adalah baik-baik sahaja, cukup terang, mempunyai warna yang tajam, kecerahan yang memuaskan. Lagi-lagi sepanjang tempoh PKP, tidak keluar rumah – jadi penggunaan skrin peranti ini adalah sesuai sekali. Redmi akhirnya mengikut trend semasa dengan menggunakan rekaan skrin seperti ini.

Kesilapan besar oleh Redmi di sini adalah penggunaan skrin 60Hz. Peranti pesaing seperti Realme 6 Pro yang mempunyai spesifikasi yang lebih kurang sama, menyertakan skrin 90Hz. Walaupun hanya gimik, sekurang-kurangnya harga jualan peranti akan rasa berbaloi.

Di dalam aplikasi YouTube, ia boleh menstrim kandungan HDR. Namun, apa yang video tersebut mainkan adalah amat pudar seakan tiada langsung kualiti HDR. Tidak pasti sama ada ini adalah masalah perkakasan atau perisian. Di Netflix juga, kualiti video HDR tidak begitu memuaskan. Walau bagaimanapun, peranti ini masih memberi pengalaman penggunaan skrin yang memuaskan. Rekaan skrin berlubang hanya terganggu seketika sahaja, selepas menggunakannya sekitar satu minggu – lubang itu hanya kelihatan jika dicari. Dagu adalah sedikit tebal, tetapi boleh diterima dan masih akan menawarkan penggunaan yang imersif.

Untuk sekuriti, pengimbas cap jari yang digunakan adalah jenis fizikal di sisi perani. Pengimbas ini digabungkan sekali dengan butang kuasa. Dukacitanya, ia tidak begitu pantas dan sentuhan tidak sengaja kerap berlaku sehinggakan terpaksa menggunakan kata kunci untuk menyahkunci peranti. MIUI 11 yang dijalankan turut mempunyai pilihan menyahkunci berasaskan wajah, namun ia tidak begitu efisien kerana hanyalah imbasan dari kamera swafoto sahaja.

Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 720G dengan binaan 8nm. Konfigurasi adalah lapan teras 2 x 2.3 GHz Kryo 465 Gold dan 6 x 1.8 GHz Kryo 465 Silver. Untuk GPU pula, ia menggunakan Adreno 618. Di atas kertas, sepatutnya adalah berkuasa. Tetapi, sepanjang penggunaan saya – peranti ini kerap lengah masa. Bukan itu sahaja, banyak aplikasi juga kerap tergendala, berhenti dengan sendiri, dan mempunyai prestasi yang sangat perlahan. Ia seakan menggunakan sebuah peranti kelas asas. Ini mungkin kerana unit ulasan yang saya uji hanya mempunyai memori 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Jelas di sini kuasa pemprosesan yang dipadankan dengan memori rendah, tidak cukup berkuasa.

Mungkin dengan memori 6GB RAM, ia akan menawarkan prestasi yang lebih baik. Saya bandingkan dengan Vivo V19 yang dijana Snapdragon 712 dan RAM 8GB, percaya atau tidak Vivo lebih berkuasa dari Redmi walaupun kuasa cip adalah lebih rendah. Proses pengurusan memori juga amat teruk, banyak aplikasi kerap memuat semula. Ini sudah cukup membuktikan, peranti kelas pertengahan tidak sesuai mempunyai memori 4GB RAM. Anda bayangkan, mesej WhatsApp sekitar 50 mesej sahaja peranti sudah menjadi lengah masa.

Pada bahagian kamera utama terdapat empat lensa, iaitu 48 MP, f/1.8, 26mm (sudut lebar) + 8 MP, f/2.2 (sudut ultra lebar) + 5 MP, f/2.4, (makro) + 2 MP, f/2.4, (sensor kedalaman). Ini adalah penawaran yang menakjubkan untuk sebuah peranti Redmi. Persoalannya, adakah jumlah lensa yang banyak benar-benar ada fungsi atau hanya gimik? Saya akan ceritakan lebih lanjut dalam beberapa perenggan lagi. Kamera swafoto pula menggunakan lensa 16MP f/2.5. Kesemua lensa ini dimuatkan dalam modul kamera segi empat, selari dengan trend rekaan sekarang.

Menariknya port bicu audio 3.5mm masih disertakan, tetapi pembesar suara kekal mono. Untuk rangkaian, terdapat sokongan Bluetooth 5.0 tetapi tiada NFC dan masih belum WiFi 6 dan masih lagi 4G. Untuk sekuriti, pengimbas cap jari fizikal disertakan pada sisi peranti. Redmi Note 9S juga mempunyai kapasiti bateri sebesar 5020mAh dengan sokongan pengecasan pantas 18W USB-A ke USB-C. Oh ya, peranti ini turut mempunyai perlindungan kalis percikan.

Rekaan

Redmi Note 9S adalah sebuah Redmi Note 9 Pro untuk pasaran tempatan. Peranti ini menggunakan kerangka plastik, kaca Gorilla Glass untuk perlindungan di hadapan dan belakang. Rekaan Redmi Note 9S amat berbeza dengan format rekaan peranti Redmi Note sebelum ini. Yang pertama adalah bahagian hadapan, rekaan skrin berlubang adalah berbeza dan memberikan nisbah skrin-ke-badan yang lebih luas. Dagu, walaupun sedikit tebal – tetapi tidak mengganggu pengalaman penggunaan. Kamera swafoto adalah sedikit terganggu, kerana ia tidak tenggelam berwarna hitam apabila peranti dikunci. Ia mempunyai pantulan cahaya dan lensa kamera jelas kelihatan.

Panel belakang, adalah sangat licin dan mudah menangkap kotoran cap jari. Logo Redmi jelas kelihatan di bahagian bawah tengah. Perkara yang menjadikan peranti ini lebih menonjol adalah bonjol kamera yang agak tebal. Redmi menggunakan rekaan modul segi empat agar seragam dengan trend semasa. Namun bonjol yang tinggi ini tidak melindungi peranti dengan baik. Peranti akan terjungkit jika diletak atas permukaan yang rata dan lensa kamera mudah calar. Kerangka pelindung adalah wajib digunakan, tetapi bukan yang disertakan. Kerana apa yang Redmi sertakan adalah jenis silikon biasa yang tidak melindungi peranti begitu baik.

Di bahagian atas terdapat lubang mikrofon dan sensor infra merah. Di bawah adalah kekisi pembesar suara, satu lagi lubang mikrofon, port USB-C dan port bicu audio 3.5mm. Di sisi kanan adalah lokasi butang aras suara dan butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Di sisi kiri hanya terdapat slot kad SIM yang turut mempunyai slot kad microSD. Warna unit ulasan yang saya gunakan ini adalah Interstellar Grey, yang mana adalah sedikit kebiruan. Ia cantik, seksi, berkilat dan nampak moden.

Antaramuka

Seperti biasa, Redmi masih lagi jenama di bawah Xiaomi – jadi sistem operasi yang digunakan adalah MIUI. Redmi Note 9S menggunakan MIUI 11 berasaskan Android 10. MIUI 11 memuatkan pelbagai ciri dan fungsi menarik. Antaranya adalah mod gelap, tidak kira peranti LCD atau OLED – ia tetap disokong.  Lain adalah seperti tetapan yang lebih kemas, pilihan nada dering yang lebih menarik dan dekat dengan Android 10 yang digunakan pada Pixel, penggunaan Google Phone dan Google Message dan bukan lagi Mi Phone atau Mi Message, pelbagai pilihan tema, antaramuka pemantauan bateri yang memudahkan, Digital Wellbeing terbina dan banyak lagi.

Berikut adalah senarai ciri dan fungsi menarik yang terdapat dalam MIUI 11 pada Redmi Note 9S;

Clear Speaker – Pembesar suara Redmi Note 9S adalah kuat. Menggunakan dentuman pembesar suara mereka, fungsi ini boleh membuang habuk dari kekisi pembesar suara dengan memainkan audio frekuensi tinggi sehingga habuk terkeluar.

Dark Mode – Walaupun peranti ini adalah LCD, Redmi masih menyertakan fungsi mod gelap. Jika ia tidak menjimatkan bateri, sekurang-kurangnya, penggunaan waktu malam atau suasana gelap tidak akan menyakitkan mata.

Dual Apps – Banyak sudah fungsi ini ditawarkan oleh pengeluar lain. Ia membolehkan dua akaun berbeza atau nombor berbeza pada aplikasi sosial media atau WhatsApp secara serentak dijalankan pada peranti.

Game Turbo – Sejak wujudnya peranti gaming, fungsi memfokuskan permua disertakan pada banyak peranti. Sudah tentu Redmi tidak ketinggalan. Fungsi ini membolehkan pengguna bermain permua dengan penuh dengan kawalan notifikasi, mengurangkan penggunaan RAM dan banyak lagi.

Google Discover – Sebelum ini, MIUI menggunakan satu ruang khas untuk memaparkan pelbagai akses pantas atau widget tersendiri. Terkini, mereka telah menggunakan Google Discover, iaitu yang sama ada pada pelancar Pixel Launcher dan banyak lagi peranti berasaskan Android asli.

Mi Share – Jika Apple ada AirDrop, Samsung ada Quick Share, MIUI ada Mi Share, Perkongsian fail pantas antara peranti Xiaomi dan Redmi melalui WiFi atau frekuensi radio jarak dekat.

Quick Ball – Seperti mod aksesibiliti pada iOS, ia adalah butang terapung untuk akses pantas pelbagai aplikasi atau tetapan. Ia memudahkan penggunaan peranti secara sebelah tangan atau sesuai untuk mereka masih belum bersedia menggunakan kawalan gestur penuh.

Quick Replies – Fungsi pintar MIUI, untuk membalas SMS, mesej WhatsApp atau lain-lain aplikasi permesejan ketika peranti berada dalam keadaan melintang. Ia akan paparkan tetingkap khas untuk membuat dua kerja serentak seperti bermain permu/menonton video sambil membalas mesej.

Second Space – I membolehkan pengguna membuat satu bahagian baru pada peranti. Jika mempunyai anak kecil atau kekasih dan tidak ingin rahsia atau kerja terbongkar atau terganggu, bahagian baru ini mempunyai akses terhad berbanding bahagian utama. Ada aplikasi boleh diakses, ada yang tidak. Jika aplikasi sama diaksesm ia mempunyai data berasingan.

Walaupun masih mempunyai pelancar tersendiri, tema yang berat dan pelbagai aplikasi Xiaomi terpasang – MIUI 11 cuba terbaik mungkin menawarkan penggunaan yang menghampiri penggunaan Android asli.

Paling mengecewakan adalah, MIUI 11 masih mempunyai banyak iklan terbina pada sistem mereka. Jika memasang fail APK, akan ada iklan terpapar. Membuka pengurus fail atau aplikasi keselamatan mereka turut akan ada iklan terpapar. Ya, boleh dimatikan. Tetapi kenapa perlu sertakan pelbagai iklan yang menjadikan pengalaman penggunaan peranti ini tidak memuaskan.

Kamera

Redmi kali ini memfokuskan pada kamera untuk siri-Note mereka. Lensa utama 48MP seperti mana-mana peranti lain adalah pilihan secara manual dan tidak terbina pada mod auto. Mod auto akan menggunakan teknik pixel binning sahaja. Lensa 48MP akan mengambil gambar dengan cukup butiran. Ia sesuai untuk mengambil gambar dari jarak jauh dan kemudian crop pada bahagian yang diinginkan.

Sampel di bawah ini adalah mod 48MP. Walaupun dari jarak yang jauh, sekitar 2-3 meter objek tidak perlu dizum. Malah, selepas megambil gambar hanya crop sahaja bahagian yang berkekan. Itu pun sudah memadai dan teks jelas dibaca, butiran masih tersimpan sedikit.

Sampel 48MP yang lain adalah pemandangan landskap. Dengan mod 48MP, lebih banyak butiran terpelihara berbanding dengan mod auto. Akan tetapi, mod 48MP ini seakan tidak melalui sebarang pasca-proses dan sedikit gelap. Sampel di bawah ini membandingkan kedua-dua mod. Mod auto, memaparkan hasil yang lebih terang. Namun, butiran adalah kabur dan keseluruhan imej penuh dengan hingar.

Mod 48MP walau bagaimanapun, apabila dizum kelihatan lebih kemas dan mata lebih enak memandang. Ini kerana ia adalah seperti mana mata manusia lihat.

Sampel seterusnya adalah mod malam. Di sini Redmi layak mendapat pujian. Dalam keadaan yang amat gelap, hasil gambar yang dipaparkan adalah sungguh menakjubkan. Ia seakan menghidupkan lampu. Gambar pertama adalah mod auto tanpa sebarang AI diaktifkan. Ia sedikit kabur, penuh dengan hingar dan sudah tentu sangat gelap. Imej disebelahnya, memaparkan warna yang lebih hidup, terang dan tin air berkarbonat ini jelas butirannya. Cuma, jika anda perhatikan – tona warnanya sediki kekuningan.

Seterusnya adalah ujian sudut ultra lebar dan zum 2x yang disertakan. Apa yang saya boleh ulaskan adalah, mod sudut ultra lebar memerlukan jumlah cahaya yang banyak untuk hasil yang cantik. Gambar pertama ini, jika anda lihat – fokusnya hanya pada bahahgian tengah. Di bahagian sisi tiada fokus, butiran tidak dipelihara dan penuh dengan hingar. Juga jika anda perhatikan dengan baik, terdapat kesan herotan yang menjadikan hasil imej kurang memuaskan. Dari segi warna, ia adakah apa yang saya jangkakan untuk sebuah peranti dari Redmi – iaitu baik-baik sahaja.

Sampel gambar di bawahnya adalah perbandingan dari sudut yang sama untuk mod biasa dan zum dua kali. Sudah semestinya, mod biasa memaparkan hasil yang cantik, butiran dipelihara dengan baik dan mempunyai warna yang cukup rasa. Namun, zum dua kali sahaja – hasilnya sedikit pudar dan butiran sediki lari.

Redmi Note 9S turut mempunyai sokongan rakaman gambar makro. Ini adalah mod paling menarik bagi saya. Ia mampu mengambil gambar jarak dekat yang baik, berkualiti tinggi, jelas, memaparkan warna yang baik dan butiran adalah jitu.

Lihat sampel makro pertama, gambar duit RM5 ini jelas kelihatan teks yang tersembunyi. Bukan itu sahaja, warna hijau duit itu juga sama seperti apa yang kita lihat dengan mata.

Jika menggunakan mod auto, gambar jarak dekat tidak mempunyai warna yang baik dan pudar. Jadi mod makro adalah mod yang patut digunakan untuk mengambil gambar sebegini? Dukacitanya tidak. Ini kerana, mod makro ini tidak mempunyai warna yang konsisten. Lihat gambar pizza di bawah, daging dan roti mempunyai warna yang pudar. Tetapi cekodok lemak manis pisang itu kelihatan menyelerakan.

Di sini saya dapat huraikan yang, mengambil gambar di luar adalah lebih baik dari gambar di dalam dengan lampu siling LED. Dengan cahaya yang semula jadi, hasil gambar jarak dekat adalah lebih baik dan menarik.

Mari kita lihat pula sampel gambar manusia dan objek-objek rawak.

Gambar saya, jika anda lihat hasilnya adalah sedikit natural. Masih ada kesan kecantikan berlaku dalam pasca-proses kerana, wajah saya kelihatan begitu bersih. Tetapi, warna yang dipaparkan begitu baik sekali. Ini pula adalah mod potret. Kesan bokeh di latar juga kemas, kecuali pada bahagian rambut yang turut dikaburkan. Tetapi hasil seperti inilah yang menjadikan kamera peranti kelas pertengahan sebagai salah satu nilai penting ketika ingin membuat keputusan membeli.

Gambar-gambar objek rawak lain adalah seperti botol minuman air di bawah. Ia bukannya mod potret. Tetapi mempunyai fokus yang baik dan kesan kabur di latar yang sungguh kemas dan memuaskan. Warna juga terpelihara dengan baik. Gambar biskut coklat di dalam bekas itu pula, mengekalkan butiran yang jitu. Jelas kelihatan yang biskut tersebut adalah ranggup. Tekstur padanya juga menarik untuk dilihat dan warnanya juga menyelerakan.

Akhir sekali adalah gambar swafoto. Tidak kira mod biasa atau mod potret, warna yang dipaparkan adalah konsisten. Nampaknya MIUI 11 kali ini, mempunyai sistem kecerdasan yang jauh lebih baik. Selepas pasca-proses, kedua-dua gambar mempunyai warna yang cantik, hasil yang jelas dan latar belakang yang dikaburkan dengan baik. Beza antara dua imej ini adalah, kesan kabur yang ringkas dan mod potret mempunyai kesan kabur dengan sedikit kesan bokeh.

Antaramuka kamera adalah seperti mana-mana peranti MIUI. Tiada banyak perubahan. Semua mudah dikawal dan mesra pengguna. Segala mod-mod baru, boleh ditatal ke kiri atau ke kanan dengan mudah. Jujur saya katakan, antaramuka seperti ini sebenarnya sudah bosan. MIUI sepatutnya hadir dengan antaramuka yang lebih baru. Lihat pada One UI 2.0, antaramuka kamera adalah berbeza dengan versi sebelumya dan turut mempunyai fungsi dan ciri tambahan yang menarik.

Skor Tanda Aras

Redmi Note 9S hanya mempunyai spesifikasi yang hebat di atas kertas. Penggunaan di dunia realiti adalah mengecewakan. Dengan penggunaan sosial media, hiburan dan tugasan harian yang ringan, peranti ini tidak mempunyai prestasi hebat. Jadi saya tidak berani bermain permua. Peranti ini saya jadikan sebagai peranti menonton Netflix sahaja ketika peranti utama kehabisan bateri.

Skor tanda aras untuk peranti ini melalui AnTuTu menerima mata sebanyak 246679 , manakala Geekbench 5.0 adalah 570/1790 untuk satu teras dan muti-teras.

Berdasarkan pengalaman penggunaan peranti Redmi atau Xiaomi, 4GB RAM memang tidak memuaskan dan tidak cukup. Jika Redmi menggunakan RAM 6GB ke atas, saya yakin prestasi akan mempunyai skor yang jauh lebih baik. Malah, masalah memuat juga tidak akan berlaku.

Audio

Redmi mempromosikan peranti ini dengan kehebatan pembesar sara yang hebat. Mereka dakwa ia begitu kuat, sehinggakan meletakkan fungsi Clear Speaker untuk membuang habuk atau debu dari kekisi pembesar suara. Namun, realitinya – hasil audio pembesar suara ini tidak begitu kuat. Walaupun aras suara adalah 100%, ia tidak cukup kuat dan masih perlahan. Tidak kira tonton YouTube, Netflix atau video di Facebook, ia tidak mencukupi.

Kualiti audio walau bagaimanapun adalah baik sekali. Mendengar muzik juga enak, bass tidak begitu jelas kerana ia lebih kepada tetapan yang flat. Jadi menonton filem aksi dengan banyak adegan letupan, video reaksi yang banyak menjerit adalah tidak begitu memuaskan. Pembesar suara yang digunakan adalah jenis mono. Untuk pembesar suara mono, Redmi sepatutnya sekurang-kurangnya memberikan hasil audio yang lebih lantang atau berdentum degan baik.

Nasihat saya, jika anda membeli peranti ini gunakan set fon telinga sahaja. Mungkin sebab itu peranti ini mempunyai port bicu audio 3.5mm, walaupun sudah tahun 2020? Ujian menggunakan set fon telinga, saya hanya uji dengan set fon telinga nirwayar. Kerana pembesar suara yang lemah, saya lebih gemar menggunakan aksesori audio lain. Ia akan memberikan pengalaman yang lebih memuaskan.

Bateri

Dengar sahaja peranti Note, pasti bateri adalah perkara penting yang kita ingin tahu. Redmi Note 9S mempunyai bateri 5020mAh. Dari awal penggunaan sehingga tamat saya uji peranti ini, ia mempunyai bateri yang sangat memuaskan. Ini mungkin kerana saya tidak bermain sebarang permua dan hanya menggunakannya sebagai alat tonton video, layan media sosial dan WhatsApp.

Redmi Note 9S tidak mempunyai masalah ketahan bateri yang lama. Saya berjaya mendpata masa skrin hidup (SOT) mencapai lebih 14 jam dengan baki bateri 2%. Ini adalah untuk penggunaan HBO Go Malaysia, laman-laman media sosial, WhatsApp dan kamera. Kemudian, saya mendapat SOT selama 12 jam 15 minit dengan baki bateri 16%. Penggunaan masih sama, tetapi kali ini mengguna data berbanding tadi menggunakan WiFi.

Akhir sekali, juga adalah penggunaan data. Cuma kali ini aplikasi penstriman video yang saya gunakan adalah Netflix. Saya hanya menerima 9 jam SOT sahaja. Itu adalah hebat dan menggembirakan hati saya. Tidak ada masalah menggunakan peranti ini selama dua hari, dan hanya mengecas peranti pada hari kedua sahaja.

Hebat-hebat bateri ini, ada kekurangnya. Peranti ini tidak mempunyai sistem pengecasan yang pantas seperti pesaing. Redmi hanya menyertakan sistem pengecasan pantas 18W sahaja. Pengecasan pula adalah melalui USB-A ke USB-C dan bukannya USB-C ke USB-C. Untuk bateri 5020mAh, ia mengambil masa 2 jam untuk cas sehingga penuh. Tetapi, ia adalah penantian yang berbaloi.

Konklusi

Redmi Note 9S adalah sebuah peranti yang baik. Spesifikasi yang ditawarkan juga cukup menarik. Tetapi peranti ini adalah seakan sebuah nota yang tidak habis dicatit. Semua sudah lengkap, tetapi kurang sempurna. Ia mempunyai cip pemprosesan Snapdragon 720G, tetapi variasi asas adalah 4GB yang tidak padan. Ia ada rekaan skrin yang cantik, tetapi tidak mempunyai nilai HDR yang baik. Ia juga mempunyai tetapan kamera yang hebat, tetapi hasil tidak konsisten.

Harga jualan peranti ini adalah RM799 untuk variasi 4GB RAM dan RM899 untuk variasi 6GB RAM. Harga yang ditawarkan adalah baik sekali dan bersaing dan jelas di sini pesaingnya adalah Realme 6 Pro, yang mana juga menggunakan Snapdragon 720G. Jadi untuk siapakah peranti ini?

Redmi Note 9S menyasarkan kepada peminat Xiaomi atau Redmi yang inginkan sebuah peranti dengan ketahanan bateri. Peranti ini mempunyai ketahanan bateri yang amat hebat dan memuaskan. Kemudian, ia juga adalah untuk pengguna yang baru ingin berjinak dengan fotografi telefon pintar. Peranti ini mempunyai kualiti kamera yang baik, tetapi perisian yang tidak matang. Mungkin kemaskini akan datang boleh membaikinya.

Dari segi prestasi, Redmi Note 9S bukanlah sebuah peranti yang memfokuskan permua. Ini tidak bermakna, ia tidak boleh bermain permua. Cuma Redmi tidak fokuskan kepada bahagian tersebut. Skrin adalah nilai terkahir jika pengguna ingin membelinya. Ini kerana ia mempunyai skrin yang cerahnya baik-baik sahaja dan tidak mempunyai warna yang cukup cantik. Hasil gambar jika ingin tengok adakah benar-benar indah atau tidak adalah dengan membukanya pada komputer atau peranti lain.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Kamera mod potret mempunyai hasil yang memuaskan dengan kesan kabur yang kemas
  • Hasil swafoto yang kemas, cantik dan warna yang hidup
  • Ketahanan bateri adalah sangat hebat dan menakjubkan, boleh mencapai belasan jam SOT
  • MIUI 11 kini lebih dekat dengan Android 10 asli, banyak aplikasi MIUI digantikan dengan aplikasi Google
  • Rekaan moden yang kemas, bergaya dan cantik
  • Nila HDR pada kamera tidak konsisten, kadangkala cantik dan kadangkala pudar
  • Variasi permulaan adalah 4/64 GB yang tidak padan dengan cip pemprosesan
  • Pengurusan memori tidak begitu baik untuk variasi 4GB RAM
  • Pengecasan terhad kepada 18W sahaja
  • Skrin tidak begitu cantik, kadungan HDR amat pudar di YouTube

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd