Pelbagai syarikat teknologi kini sedang melihat untuk menceburi arena kewangan digital. Selain Apple yang telah pun hadir dengan kad kredit fizikal, dan Grab yang menawarkan GrabPay Card di Singapura, kini laporan awal hadir mengatakan Google turut bakal hadir dengan sebuah kad debit fizikal tidak lama lagi.
Google dikatakan sedang bekerjasama dengan beberapa bank untuk hadir dengan kad debit yang dijenamakan Google. Dengan penawaran kad debit ini, ia akan memudahkan lagi transaksi di kedai fizikal dengan mudah, selain sokongan pembayaran pada perkhidmatan yang tidak mengintegrasikan Google Pay.
Disamping itu, ia juga akan membolehkan Google untuk hadir dengan sejumlah perkhidmatan perbankan, termasuk berkaitan dengan robo-pintar untuk pelaburan.
Selain versi fizikal, versi digital juga dijangka akan ditawarkan melalui sebuah aplikasi khusus. Pengguna boleh memantau transaksi dengan mudah melalui aplikasi berkaitan – dan melihat aliran wang dan perbelanjaan mereka.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi berkenaan tarikh pelancaran kad debit fizikal ini. Tetapi, apa yang pasti, ia akan dilancarkan di Amerika Syarikat sahaja untuk peringkat awal.