Pada 27 Jun 1923, pengisian minyak sebuah kapal terbang berjaya dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat. Selepas hampir seabad digunakan oleh pihak tentera, sistem mengisi minyak masih memerlukan kepakaran juruterbang dan pengawal joran pengisi minyak manusia untuk memastikan operasi yang berjaya. Tetapi Airbus telah mengumumkan kejayaan melakukan ujian sistem pengisian minyak automatik pertama di dunia.
Menurut Airbus, ujian sistem joran pengisi minyak automatik ini berjaya melakukan sambungan dengan sebuah pesawat F-16 milik tentera udara Portugal sebanyak 120 kali. Dalam kesemua ujian yang berjaya, pengawal joran manusia tidak digunakan untuk melakukan sambungan. Sistem secara automatik mengawal joran ke pesawat pejuang untuk melakukan pengisian minyak.
Sistem pengisian minyak secara automatik ini akan digunakan pada pesawat Airbus Multi-Role Tanker Transport (MRTT) yang merupakan sebuah A330 yang diubahsuai untuk kegunaan ketenteraan. Sebelum ini Airbus MRTT memerlukan pengawal joran manusia untuk beroperasi tetapi tahun ini Tentera Udara Republik Singapura menunjukkan minta untuk membangunkan sistem pengisian minyak secara automatik.