Takuk pada iPhone X menjadi bahan lelucon atas talian selama beberapa minggu sebelum ia kemudiannya menjadi ikutan pengeluar Android. Selepas tiga tahun, mula kedengaran ura-ura takuk pada iPhone 12 kelak akhirnya akan mempunyai saiz fizikal yang lebih kecil berbanding model terdahulu. Persoalannya bagaimanakah ia akan dilakukan oleh kerana sistem Face ID memerlukan lima komponen berasingan untuk berfungsi?
Jawapannya telah ditiriskan sekali lagi oleh Jon Prosser menerusi ciapan beliau pagi ini. Beliau menciap lukisan kejuruteraan untuk peranti yang didakwa adalah iPhone 12 dan lakaran pengolokan yang lebih kemas menunjukkan lokasi setiap komponen yang digunakan di dalam takuk.
Untuk mengurangkan saiz takuk, Apple akan mengubah lokasi pembesar suara gagang telinga ke dalam bezel dan bukan lagi dalam takuk. Hasilnya ialah takuk yang lebih kecil tetapi masih lagi agak besar jika dibandingkan dengan yang ditemui pada peranti mercu Android seperti OnePlus 8 Pro dan Samsung Galaxy S20 Ultra.