Cari @ Amanz

Sedia maklum, Huawei dalam persediaan memperkenalkan siri Nova 7 yang dijadualkan berlangsung pada 23 April ini. Huawei dijangka muncul dengan sekurang – kurangnya tiga model di bawah siri ini iaitu Nova 7, Nova 7 Pro dan Nova 7 SE dan kesemuanya mungkin bakal disertakan dengan rangkaian 5G. Menjelang pelancaran rasmi, gambaran sebenar dan spesifikasi ketiga-tiga model ini dikatakan telah tertiris di arena web.

Memetik imej tersebar, Huawei Nova 7 dilihat menyertakan rekaan berlubang pada paparan hadapan yang ditempatkan pada sudut kiri atas. Seterusnya, ia juga dilihat menyokong empat kamera utama yang disusun secara menegak pada panel belakang. Peranti ini dikatakan membawa paparan OLED bersaiz 6.53-inci FHD+, dijana oleh cip pemproses Kirin 985, memori 8GB RAM serta storan sehingga 256GB.

Untuk kamera, ia membawakan gabungan lensa utama 64-Megapixel + 8-Megaixel + 8-Megapixel + 2-Megapixel dan kamera hadapan pula sebesar 32-Megapixel. Melengkapinya juga bateri 4,000mAh dengan pengecasan pantas 40W dan menggunakan antaramuka EMUI 10.1 berasaskan Android 10.

Seterusnya adalah Huawei Nova 7 Pro. Imej tersebar menunjukkan peranti ini akan menyokong rekaan berlubang dengan dwi kamera hadapan. Untuk spesifikasi, Nova 7 Pro mungkin didatangkan dengan paparan bersaiz 6.57 inci FHD, dijana cip pemproses Kirin 985, memori 8GB RAM dan storan sehingga 256GB.

Kamera utama adalah sama seperti Nova 7, namun salah satu kamera disertakan dengan lensa periskop sebesar 8-Megapixel dan tiada sebarang lensa telefoto disertakan. Kamera hadapan adalah sebesar 32-Megapixel + 8-Megapixel. Untuk bateri, ia menyertakan kapasiti sebesar 4,000mAh dengan pengecasan pantas 40W dan menggunakan antaramuka EMUI 10.1 berasaskan Android 10.

Huawei Nova SE pula mempunyai paparan berlubang dengan lensa tunggal sama seperti Huawei Nova 7. Malangnya, tiada seberang imej tersebar yang memperlihatkan rekaan belakang peranti. Namun, maklumat mendedahkan salah satu lensa mungkin menyokong sebesar 2-Megapixel.

Untuk spesifikasi dalaman, peranti ini mungkin menyertakan paparan berukuran 6.5-inci LCD FHD+ dan dijana cip pemproses Kirin 820 5G. Melengkapinya, bateri berkapasiti 4,000mAh dengan pengecasan pantas 40W dan menjalankan antaramuka EMUI 10.1 berasaskan Android 10.

Bagaimanapun, imej dan maklumat tertiris masih lagi di peringkat ura-ura. Benar atau tidak, sama – sama kita tunggu pelancaran rasmi kelak. Apa pendapat anda mengenai reka bentuk siri Nova untuk kali ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd