MSI Memperkenalkan Komputer Riba MSI Bravo 15 Dan 17 Yang Dikuasakan Komponen AMD
MSI

MSI Memperkenalkan Komputer Riba MSI Bravo 15 Dan 17 Yang Dikuasakan Komponen AMD

Diterbitkan pada Apr 21, 2020 oleh .

MSI boleh dikatakan diantara jenama pembangun komputer pertama yang hadir dengan spesifikasi dalaman yang menggunakan komponen AMD secara penuh melalui komputer riba gaming MSI Alpha 15 mereka sebelum ini.

Terkini, mereka nampaknya akan memperkenalkan sebuah siri komputer riba gaming baru berdasarkan komponen-komponen AMD juga yang dinamakan MSI Bravo 15 dan juga MSI Bravo 17. Siri komputer riba ini diperlihatkan buat kali pertama di acara Consumer Electronics Show pada awal tahun ini, dan ini nampaknya adalah spesifikasi rasmi siri komputer riba tersebut.

Bermula dengan paparan skrin, MSI Bravo hadir dengan pilihan saiz paparan 15 ataupun 17 inci menggunakan panel TN yang mempunyai resolusi Full HD dan kadar segar semula 120Hz.

Dari segi spesifikasi dalaman, kedua-dua komputer riba ini dikuasakan oleh CPU AMD Ryzen 4800H yang mempunyai sejumlah lapan teras fizikal dan 16 bebenang kuasa. Tiada pilihan memori diperlihatkan buat masa ini, tetapi kebarangkaliannya MSI mungkin akan memuatkan memori DDR4 sebanyak 8GB ataupun 16GB didalamnya.

Dari segi storan pula, MSI Bravo 15 akan hadir dengan storan SSD NVMe PCIe sebesar 512GB, manakala MSI Bravo 17 akan mendapat storan cakera keras sebesar 1TB disamping SSD sama yang digunakan didalam model Bravo 15.

Menariknya, MSI memilih untuk menggunakan cip pemprosesan grafik AMD Radeon RX5500M untuk komputer riba ini, yang menggunakan teknologi Navi 14 terbaru oleh AMD. Buat masa ini, ia dilaporkan bahawa cip grafik ini cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi Full HD dan tetapan medium.

Ia turut dilaporkan bahawa MSI Bravo 15 dan 17 ini sudah mula dijual di pasaran Amerika Syarikat pada harga $929 dan $1099, tetapi buat masa ini ia masih belum diketahui bilakah komputer riba ini akan memasuki pasaran tempatan.



TIPS & ULASAN