ODM atau Original Design Manufacturer adalah satu modal niaga yang menjimatkan jenama-jenama besar hadir dengan sesebuah peranti. Melalui ODM, sesebuah jenama hanya perlu pilih peranti yang telah siap dibina dan membuat perubahan kecil seperti menukar logo atau mengubahsuai pakej bungkusan.
Antara jenama yang menggunakan ODM adalah Xiaomi melalui syarikat Wentai, Huaqin dan Longqi. Huawei pula menggunakan Zhongnuo untuk pengeluaran peranti Huawei dan Samsung melalui syarikat Wingtech. Terkini, OnePlus turut dilaporkan akan menggunakan ODM untuk hadir dengan peranti-peranti 4G dan 5G untuk dijual pada harga mesra poket.
OnePlus baru-baru ini telah hadir dengan OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro yang harganya mencapai lebih RM4000. Mereka bukan lagi jenama yang memfokuskan kepada peranti mercu mampu milik, tetapi adalah jenama peranti mercu premium. Jadi, untuk terus mendapatkan sokongan dari peminat – mereka akan menggunakan ODM. Terdapat ura-ura yang OnePlus akan hadir dengan OnePlus Z, iaitu generasi baharu OnePlus X – sebuah peranti mampu milik. Mungkin ini adalah peranti tersebut?
Dengan menggunakan ODM, kos R&D dapat dikurangkan bagi membolehkan mereka kekal bersaing dengan peranti kelas pertengahan pengeluar China lain. Jika ini adalah strategi OnePlus, kita mungkin akan lihat OnePlus hadir dengan peranti baharu berharga sekitar RM1000-RM2000 mengikut kelas tertentu.