Samsung pada hari ini telah sedia menawarkan sensor pengimejan 108-megapixel yang digunakan pada beberapa telefon pintar. Bergerak kehadapan, Samsung menyasarkan untuk hadir dengan sensor pengimejan sehingga 600-megapixel.
Berkongsi mengenainya, Samsung menceritakan perkembangan arena sensor, dan mengatakan kajian mendapati mata manusia menawarkan kadar resolusi seumpama sensor 500-megapixel. Ini sekaligus menjadi sebab untuk Samsung menyasarkan sensor 600-megapixel pada masa akan datang.
Sensor berkenaan dijangka akan digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk pada dron, kenderaan swapandu, dan sebagainya.
Samsung mengumumkan sasaran jangka masa panjang untuk hadir dengan sensor berkenaan, tanpa sebarang latar-masa pembangunan buat masa ini. Ia juga tidak diketahui lagi sama ada ia akan digunakan pada telefon pintar atau sebaliknya. Tetapi, ia agak menarik untuk melihat gergasi teknologi menyasarkan penawaran sensor yang boleh menyamai apa yang dilihat oleh mata manusia.