Carian
Pandang Pertama OnePlus 8 Pro – Penanda Aras Baru Untuk Peranti Mercu
April 22, 2020 Fahim Zahar

Sejak OnePlus One sehinggalah siri OnePlus 7T, ia dikategorikan sebagai peranti mercu mampu milik di negara-negara luar. Hanya di Malaysia, ia digelar sebagai peranti mercu biasa kerana harga jualannya. Tetapi, selepas OnePlus 8 Pro dilancarkan minggu lepas – akhirnya peranti OnePlus menjadi sebuah peranti mercu sebenar dan benar-benar bersaing dengan jenama-jenama besar seperti Apple dan Samsung.

Harga jualan yang mencecah lebih RM4000, akhirnya menyokong pengecasan nirwayar dan OnePlus turut sertakan sokongan perlindungan kalis air dan debu IP68. Peranti ini mempunyai segala ciri-ciri untuk dijadikan sebagai peranti mercu terbaik. Tahun lepas, OnePlus 7T Pro tidak kami anugerahkan sebagai peranti mercu terbaik kerana kekurangan ciri-ciri ini. Mungkin tahun ini akan berubah? Ini adalah artikel pandang pertama OnePlus 8 Pro, jika anda ingin tahu apakah pendapat kami mengenai peranti ini.


Spesifikasi

OnePlus 8 Pro
Skrin 6.78″ QHD+
Fluid AMOLED, HDR10+, 120Hz
Pemproses Snapdragon 865
Cip 1 x 2.84 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.8 GHz Kryo 585
Cip Grafik Adreno 680
RAM 8/12 Gigabyte LPDDR5
Muatan Dalaman 128/256 GB UFS 3.0
Kamera Utama 48+8+48+5 Megapixel.
f/1.78+f/2.44+f/2.2+f/2.4, OIS, 4K CINE, 4K 60
Utama, Telefoto, Ultra Lebar, Penuras Warna
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.45
Bateri 4510 mAh
(Pengecasan pantas + nirwayar + nirwayar berbalik)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan Belum Rasmi Di Malaysia

OnePlus 8 Pro menggunakan skrin bersaiz 6.78-inci panel Fluid AMOLED dengan resolusi QHD+, kadar segar semula 120Hz, sokongan HDR10+ dan teknologi MEMC. Peranti ini masih kekal menggunakan skrin jenis melengkung di kedua-dua sisi dan OnePlus tidak lagi menggunakan kamera pop-naik. Sebaliknya, kini mempunyai lubang pada skrin untuk kamera swafoto. Persoalannya, adakah ia akan mengganggu pengalaman penggunaan?

Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 865 dan dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 256GB UFS3.0. Cip grafik adalah Adreno 680 dan turut mempunyai modem 5G terbina dari Qualcomm, X55. Untuk kamera, OnePlus pertama kali menggunakan tetapan kuad-kamera yang menggabungkan lensa 48 + 8 (telefoto 3x zum) + 48 (sudut ultra lebar) + 8 (penuras warna) Megapixel dan kamera swafoto 16 Megapixel. Untuk audio, pembesar suara stereo yang dikuasakan oleh Dolby Atmos digunakan, butang kawalan notifikasi masih kekal, NFC dan pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal diteruskan sebagai sekuriti untuk menyahkunci peranti.

Melengkapkan spesifikasi peranti ini adalah bateri 4510mAh dengan sokongan pengecasan pantas Warp 30T. Seperti yang dikatakan pada awal perenggan, ia turut mempunyai pengecasan nirwayar 30W. Bukan itu sahaja, OnePlus turut menyertakan kemampuan pengecasan nirwayar dua-arah 3W untuk mengecas aksesori-aksesori seperti TWS.

Pengalaman Penggunaan

Jika anda sudah biasa menggunakan peranti dengan rekaan skrin menyeluruh dan sistem kamera pop-naik dan tidak pernah menggunakan peranti dengan skrin berlubang, ya – ia akan mengganggu. Seperti kami, sudah banyak peranti dengan rekaan skrin seperti ini tiba di Makmal Amanz dan kami sudah biasa dengannya. Ia adalah seperti anda lihat peranti bertakuk, lubang itu hanya akan kelihatan jika anda mencarinya. Jika gunakan sahaja seperti biasa, tiada sebarang gangguan langsung. Skrin OnePlus juga kali ini adalah lebih hebat berbanding model tahun lepas. OnePlus telah menggunakan teknologi MEMC, iaitu Motion Graphics Smoothing yang membolehkan video 24/30 FPS berubah kepada 60/120 FPS.

Kecerahan juga adalah lebih baik, warna lebih tajam dan mata sedap sahaja memandang. Bukan itu sahaja, OnePlus turut menggunakan skrin dengan kadar segar semula tinggi 120Hz. 90Hz dan 120Hz boleh dirasai perbezaannya. Ia sungguh lancar, memuaskan dan boleh menjadi aktiviti tatalan skrin seakan pemutar kegelisahan (fidget spinner). Penggunaan skrin yang lebih mendalam, masih kami uji. Nantikan ulasan penuh akan datang.

Untuk prestasi, ia adalah seperti yang kami jangkakan – sangat lancar dan sangat pantas. Sepanjang ujian ringkas yang kami lakukan, langsung tiada lengah masa, sistem tergendala ataupun masalah lain. Ia berfungsi dengan baik dan memuaskan. Disebabkan kekangan sambungan Internet, kami tidak dapat memuat turun sebarang permua untuk diuji. Walau bagaimanapun, ujian penanda aras dari Geekbench 5 dan AnTuTu memaparkan skor yang tinggi.

Geekbench 5 untuk satu teras memaparkan skor 909 dan 3221 untuk multi-teras. Manakala AnTuTu pula menerima skor 580212. Sedikit rendah berbanding dengan Oppo Find X2 Pro yang menerima markah Geekbench 5 913/3302 dan 581,589 pada AnTuTu. Sudah tentu, cip Apple A13 Bionic jauh lebih berkuasa dengan markah 1336/3448. Tetapi apa yang penting, OnePlus 8 Pro ini mendahului cip Exynos 990 pada Galaxy S20 Ultra yang hanya menerima skor 903/2685.

Awal bulan lepas, kami bandingkan cip A13 Bionic pada iPhone 11 Pro Max dan Snapdragon 865 pada Oppo Find X2 Pro. Ini adalah unit ulasan yang belum sedia dijual dan belum habis diuji. Kami akan menguji sekali lagi selepas mengemaskini Oxygen OS agar dalam artikel ulasan kelak selari dengan apa yang anda beli nanti.

Pembesar suara pula, masih tidak dapat menandingi peranti seperti Samsung Galaxy S20 Ultra. Tetapi, ia masih dikira sebagai antara yang terbaik. Tidak pasti kenapa masih tidak setanding Samsung, sedangkan kedua-dua adalah stereo dan dioptimasikan oleh Dolby Atmos. Mungkin kerana Samsung sudah lama berpengalaman dalam arena audio dan OnePlus hanya baru ingin berjinak dengan penggunaan pembesar suara stereo berkualiti tinggi. Apa yang kami dapat katakan, pembesar suaranya tidak ada banyak beza dengan OnePlus 7T Pro.

Untuk pengecasan, OnePlus masih kekal menggunakan pengecasan pantas 30W dari tahun lepas. Cuma mereka telah menambah sokongan pengecasan nirwayar Warp Charge 30 Wireless, iaitu sistem pengecasan nirwayar pantas dengan kuasa 30W. Ia hanya disokong melalui pengecas OnePlus yang tersendiri, kami tiada pengecas tersebut jadi tidak boleh mengujinya. Walau bagaimanapun, jika menggunakan pengecas nirwayar lain, ia akan dihadkan kepada kuasa 5W sahaja.

Rekaan

Di bahagian belakang, jelas sekali OnePlus masih mengekalkan elemen rekaan OnePlus 7T Pro. Tetapi di sebelah modul kameranya, terdapat lensa tambahan dan sensor lain. Bercakap mengenai modul kamera, bonjol kamera kali ini lebih tebal dari sebelum ini. Lokasi logo OnePlus kekal di bawah kamera dan tulisan OnePlus turut kelihatan di bahagian bawah. Di hadapan, OnePlus 8 Pro mempunyai rekaan yang mirip dengan Oppo Find X2 Pro. Rekaan bezel nipis dan skrin hampir menyeluruh.

Di bahagian atas perani hanya terdapat lubang mikrofon. Di bahagian bawah adalah kekisi pembesar suara, port USB-C, satu lagi lubang mikrofon dan slot kad SIM. Di sisi kiri hanya ada butang aras suara dan akhir sekali di bahagian kanan, terdapat  butang kuasa dan butang kawalan notifikasi.

Unit pada kami ini adalah warna Glacier Green. Secara keseluruhan, ia adalah berwarna biru dan kilauan warna hijau hanya kelihatan sedikit sahaja. Kemasan juga adalah jenis matte yang sedap di tangan, permukaan yang lembut dan licin. Ia tidak begitu menangkap kesan kotoran cap jari. Tetapi untuk melindungi peranti daripada calar dan melindungi bonjol kamera, gunakan kerangka pelindung disediakan – atau kerangka jenis bumper yang OnePlus jual secara berasingan.

Kamera

Agar sukar untuk kami uji video. Jadi kami uji serba sedikit kemampuan kamera utama dan kamera swafoto. Dalam ujian ringkas ini, ia memperlihatkan hasil yang membuatkan kami teruja. Warna yang cantik dan tajam, butiran yang jitu, keseimbangan cahaya yang baik dan juga kesan kabur yang kemas.

Hasil gambar mod potret juga semakin kemas, tetapi masih tidak dapat menandingi Pixel 4. Semasa mengambil gambar, pada viewfinder ia memaparkan hasil yang berbeza dengan hasil akhir. Ini kerana, OnePlus menggunakan pasca proses untuk memproses gambar agar mempunyai hasil yang baik.

Lensa sudut ultra lebar, zum 3x turut kami uji. Seperti tahun lepas, hasil sudut ultra lebar adalah menakjubkan dan tidak mengecewakan. Tiada kesan herotan yang teruk dan warna yang hampir konsisten. Lensa zum pula, baik-baik sahaja. OnePlus tidak memfokuskan kepada kemampuan zum seperti Samsung. Paling mengecewakan adalah kemampuan mengambil gambar makro kini tidak sehebat seperti tahun lepas. Ia sukar untuk fokus dan tidak boleh mengambil pada jarak yang begitu dekat.

Lensa paling pelik adalah lensa penuras warna. Tidak pasti kenapa OnePlus sertakannya. Ia mungkin kerana ingin menjadi unik dan berbeza dengan pesaing. Hasil gambar adalah teruk, penuh hingar dan mempunyai resolusi rendah.

Akhir sekali adalah ujian swafoto. Hasil swafoto juga mempunyai butiran yang natural dan warna yang baik. Kesan bokeh juga kemas dan memuaskan. Akhirnya, OnePlus berjaya menawarkan kemampuan kamera yang hebat dan luar biasa.

Konklusi

Hanya dalam ujian ringkas telah membuatkan kami ingin terus tinggalkan Samsung Galaxy S20 kami dan terus beralih ke peranti OnePlus untuk menjadikannya sebagai peranti harian. Kami tidak menafikan yang peranti Samsung hebat. Cuma, penggunaan Oxygen OS adalah lebih memuaskan. Ia selesa, ringkas dan seronok.

OnePlus 8 Pro mempunyai kemampuan prestasi yang baik, kamera yang hebat dan skrin yang sungguh cantik. Tidak lupa juga yang mereka akhirnya menyertakan ciri-ciri untuk menjadi sebuah peranti mercu sempurna selari dengan peranti pesaing. Adakah OnePlus 8 Pro akan menjadi penanda aras peranti mercu akan datang?

Terus ikuti kami di Amanz untuk ulasan penuh mengenai peranti ini.

Komen