Penularan wabak Covid-19 membawa impak kepada sejumlah perniagaan di seluruh dunia, tidak kira syarikat besar ataupun kecil. Terbaru, bercakap mengenainya, CEO Grab mengatakan penularan wabak ini membawa kepada salah satu cabaran besar kepada syarikat tersebut, yang memerlukan sejumlah “keputusan mencabar” diambil.
Apakah keputusan berkenaan masih belum diumumkan sepenuhnya – tetapi lebih kepada pengurusan kewangan dan pengurangan kos operasi dan sebagainya. Sekiranya mengikut beberapa syarikat lain, kita mungkin melihat Grab mengurangkan bilangan pekerja, atau mengambil langkah pengurangan kos yang lain.
Penularan wabak ini membuatkan perniagaan seru-pandu mereka menerima permintaan yang sedikit rendah – dan terdapat pasaran yang memperlihatkan penurunan drastik. Ini sekaligus membawa kepada pengurangan pendapatan syarikat berkenaan.
Apa pun, dari segi pendapatan alternatif, Grab kini menjana lebih pendapatan dengan GrabFood dan juga GrabMart – dimana ramai yang mula menggunakannya untuk mendapatkan makanan dan barangan runcit terus ke rumah.
Ia tidak diketahui lagi sebesar manakah impak pengurangan perniagaan seru-pandu kepada Grab.