Selain peranti pintar, Huawei juga terkena dengan penawaran tabletnya menerusi siri MediaPad. Terkini, Huawei dalam persediaan menambah lagi penawaran tablet keluarannya menerusi sebuah MatePad kelas pertengahan baharu yang dijadualkan muncul secara rasmi pada 23 April ini. Menjelang pelancaran rasmi, perincian utama pada peranti ini dikatakan telah tertiris di arena web.
Memetik informasi yang dikongsi, peranti ini akan menawarkan resolusi 2000 x 1200 piksel dan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 84%. Tiada maklumat mengenai saiz krin yang dikongsi, namun ketirisan sebelum ini mendedahkan ia dipercayai menggunakan skrin sebesar 10.4 inci. Dimensi peranti pula mungkin berukuran 245.2 × 154.96 × 7.35mm dengan berat 450g.
Untuk dalaman, ia bakal dikuasai oleh cip pemproses Kirin 810 dan dijangka hadir dengan dua pilihan konfigurasi memori iaitu 4GB + 64GB dan 6GB + 128GB. Selain itu, ia dikatakan bakal dilengkapi empat pembesar suara yang menyokong penalaan audio oleh Harman Kardon. Peranti ini juga akan disertakan dengan sokongan stylus M-pen dan penawaran kamera hadapan dan belakang sebesar 8-Megapixel.
Selain itu, ia dilaporkan dibekalkan dengan bateri 7250mAh dan tersedia dalam dua versi iaitu Wi-Fi dan LTE. Adakah ianya benar? Sama-sama kita tunggu pelancaran rasmi kelak. Sekadar makluman, Huawei juga bakal muncul dengan siri Nova 7 pada 23 April ini.