Perkhabaran mengenai iQOO Neo3 5G sudah lama kedengaran sejak beberapa minggu lalu lagi. Ia merupakan peranti kedua keluaran iQOO yang bakal dikuasakan oleh cip pemproses Snapdragon 865. Butiran mengenainya juga sedikit sebanyak telah tertiris di arena web.
Terkini, terdapat butiran baru mengesahkan bahawa iQOO Neo3 5G akan dibekalkan dengan bateri sebesar 4,500mAh dengan pengecasan pantas 44W. Melalui teknologi ini, peranti boleh mengecas sehingga 50% dalam hanya 20 minit sahaja dan pengecasan penuh pula dalam hanya 58 minit. Pendedahan ini diperoleh menerusi sebuah poster acah yang kini dikongsi secara meluas ke arena web.
Antara spesifikasi lain yang tertiris sebelum ini termasuklah ia dijana cip pemprosesan Snapdragon 865, mempunyai skrin 144Hz dan menggunakan storan UFS 3.1. Selain itu, ia juga bakal hadir dengan modul kamera segi empat, menggunakan rekaan skrin berlubang dan sistem pembesar suara dengan sokongan audio HiFi.
Untuk ketahui lebih lanjut mengenai penawaran menarik pada peranti ini, sama – sama kita tunggu pelancaran rasmi kelak yang dijadualkan berlangsung pada 23 April ini.