Motorola telah sedia menawarkan sejumlah telefon pintar berspesifikasi rendah dan pertengahan. Hari ini, mereka membuat kejutan dan telah pun memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, iaitu Motorola Edge dan juga Motorola Edge+.
Pertama sekali, adalah telefon pintar Motorola Edge. Ia hadir dengan skrin bersaiz 6.67-inci AMOLED dengan kadar segar semula 90Hz, dijana cip Snapdragon 765G, menawarkan memori sehingga 6GB RAM, dan storan sehingga 128GB UFS 2.1.
Ia turut hadir dengan tri-kamera belakang dengan sensor utama 64MP + 16MP (sensor ultra lebar) + 8MP (telefoto), selain kamera swafoto 25-megapixel dihadapan. Melengkapkan peranti ini adalah bateri berkapasiti 4500mAh bersama pengecasan pantas 18W. Ciri lain yang turut disertakan adalah sokongan bicu audio 3.5mm bersama-sama pengimbas cap jari pada skrin.
Motorola Edge+ pula merupakan variasi peranti lebih kurang sama dengan cip pemprosesan lebih berkuasa, dan sokongan kamera lebih baik.
Ia hadir dengan skrin 6.7-inci AMOLED dengan kadar segar semula 90Hz, dijana cip Snapdragon 865, memori 12GB RAM, dan storan 256GB UFS 3.0.
Motorola Edge+ menggunakan kamera belakang, dengan sensor utama 108MP + 16MP (ultra-lebar) + 8MP (telefoto). Untuk rakaman swafoto, ia menyertakan kamera 25-megapixel dihadapan.
Telefon pintar mercu ini turut hadir dengan batero 5000mAh dengan pengecasan pantas 18W, selain pengecasan nirwayar 15W. Telefon pintar ini turut menyertakan sokongan pengimbas cap jari pada skrin.
Kedua-dua telefon pintar ini turut menjalankan sistem operasi Android 10 terbaru.
Buat masa ini, ia hanya diumumkan untuk pasaran Amerika Syarikat dan Eropah sahaja, dan dijangka hadir ke pasaran Asia Pasifik dalam beberapa bulan lagi.