Ulasan iPhone SE (2016) – Masih Berguna Walaupun Sudah Berusia

Ulasan iPhone SE (2016) – Masih Berguna Walaupun Sudah Berusia

Diterbitkan pada Apr 24, 2020 oleh .

Percaya atau tidak, Apple adalah antara jenama awal yang hadir dengan pembunuh peranti mercu? Tahun 2015, iPhone 6S dilancarkan. Ia adalah peranti mercu Apple ketika itu dan kurang setahun selepas itu iPhone SE diperkenalkan. iPhone SE menggunakan rekaan iPhone 5/5S tetapi menggunakan dalaman iPhone 6S. Harga jualan pula adalah berganda lebih murah. Tahun demi tahun, Apple tidak lagi melancarkan peranti seperti ini. Sebaliknya semua peranti mereka dijual pada harga yang semakin mahal sejak iPhone X.

Minggu lepas, Apple membuat kejutan dengan melancarkan iPhone SE baharu. Ia menggunakan rekaan iPhone 8, tetapi dalamannya adalah iPhone 11. iPhone SE 2020 ini menggunakan skrin 4.7-inci yang mana adalah lebih besar dari iPhone SE 2016 yang hanya mempunyai skrin 4.0-inci. iPhone SE 2016 ini sudah pun berusia empat tahun dan masih menerima kemaskini rasmi. Jadi, adakah iPhone SE yang lama ini masih boleh digunakan dan adakah relevan untuk digunakan sehingga hayatnya tamat? Ini adalah ulasan iPhone SE 2016, yang kami gunakan untuk tahun 2020.


Spesifikasi

iPhone SE (2016)
Skrin 4.0″ IPS LCD, 640 x 1136
Pemproses Apple A9, 14nm
Cip Dwi-Teras 1.84Ghz
Cip Grafik PowerVR GT7600
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 16/32/64/128 Gigabyte
Kamera Utama 12MP f/2.2
Kamera Depan 1.2MP f/2.4
Bateri 1624mAh, 5W
SIM/Telefoni 1 Kad SIM Nano
NFC Apple Pay
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Touch ID
Harga Jualan 2016 – RM1949, Kini – Sekitar RM500

iPhone SE menggunakan skrin 4.0-inci IPS LCD dengan resolusi 640 x 1136. Tiada sebarang perkara istimewa pada skrin mereka seperti True Tone, HDR, atau lain-lain. Ia hanyalah sebuah panel LCD asas yang menyokong skrin sesentuh untuk mengawal peranti. Peranti ini turut mempunyai bezel tebal pada dahi dan dagu dan nisbah skrin 16:9.

Skrin ini amat kecil untuk digunakan pada tahun 2020. Kecerahan juga tidak mencukupi dan langsung tidak memuaskan. Menonton video di YouTube juga menyakitkan mata dan terkelip-kelip. Perkara ini disebabkan mata kami sudah biasa dengan skrin OLED dan LCD yang mempunyai resolusi lebih tinggi. Dengan secara tiba-tiba menggunakan peranti kecil, mata kami terkejut. Walau bagaimanapun, warna yang dipaparkan adalah masih cantik dan baik.

Unit yang kami gunakan ini sudah berusia empat tahun, jadi skrinnya mempunyai kesan kekuningan sedikit jika membuka apa-apa kandungan berwarna putih atau cerah. Menariknya, agak selesa jika menggunakan peranti ini sambil baring dan memegangnya dengan satu tangan.

Seterusnya, iPhone kecil ini dijana dengan cip Apple A9 dwi-teras 1.84GHz dengan GPU PowerVR GT7600. Untuk memori, ia menggunakan RAM 2GB dan storan dalaman 16GB sehingga 128GB. Cip pemprosesan ini adalah binaan 14nm yang mana adalah standard pada ketika itu. iPhone SE ini semasa dilancarkan, menjalankan iOS 9. Sehingga hari ini, peranti ini sudah menerima empat kemaskini utama – iaitu iOS 13. Bayangkan, empat tahun, masih menerima sistem operasi terkini.

Prestasi pula untuk kegunaan asas adalah amat lancar dan pantas. Tidak kira apa jua tugas yang dilakukan, membuka pelayar web Safari, iMessage, Facebook, YouTube atau Twitter semuanya berjalan dengan lancar dan pantas seakan tiada beza langsung. Masalah hanya mula dapat dirasa apabila terlampau banyak aplikasi dibuka, kerja-kerja membuang aplikasi atau bertukar-tukar aplikasi akan menjadikan peranti ini perlahan.

Sistem juga kadang-kala tergendala dan hanya dengan mematikan peranti sahaja, ia dapat kembali seperti biasa. Lain-lain, penggunaan adalah memuaskan. Cuma kerja-kerja menaip, tatal adalah sukar. Ya, benar mudah digunakan dengan satu tangan. Tetapi dengan tangan yang besar, menaip kadangkala kerap melakukan kesilapan. Peranti ini boleh digenggam begitu sahaja di dalam tapak tangan menyembunyikan peranti.

Masalah yang tiba ini boleh dimaafkan, kerana ia sudah berusia. Tetapi apabila tiada masalah, ia berfungsi dengan baik.

Untuk kamera peranti ini menggunakan satu lensa sahaja untuk kamera utama, iaitu 12 MP, f/2.2, 29mm (standard), 1/3″, 1.22µm, PDAF. Manakala, kamera swafoto pula adalah dari lensa 1.2 MP, f/2.4, 31mm. Sekilas pandang, kamera ini masih mampu digunakan dengan baik. Butiran kamera ini dengan kemampuannya akan kami jelaskan dalam perenggan lain.

Melengkapkan spesifikasi peranti ini adalah port bicu audio 3.5mm, pembesar suara mono, pengimbas cap jari fizikal Touch ID, Bluetooth 4.2, NFC (Apple Pay sahaja) dan bateri 1624mAh yang menggunakan sistem pengecasan 5W melalui port lightning.

Rekaan

iPhone SE 2016 menggunakan kerangka segi empat mirip iPhone 5. Ia amat kecil dan sangat mudah digunakan sebelah tangan. Agak menjengkelkan, kerana selepas beberapa tahun biasa dengan skrin lebih dari 5.0-inci sehingga menghampiri 7-inci. Kesalahan menaip juga kerap berlaku, lebih-lebih lagi untuk mereka yang berbadan besar. Pada hadapan peranti akan kelihatan skrin 4.0-inci bersama-sama dengan bezel tebal di atas dan bawah. Pada dahi terdapat beberapa sensor, earpiece, dan kamera swafoto. Pada dagu pula adalah sensor Touch ID yang turut berfungsi sebagai butang ke skrin utama.

Di bahagian belakang adalah logo Apple, LED flash dan mikrofon. Peranti ini menggunakan bahan binaan aluminium yang agak baik dan terasa padu. Walaupun agak janggal, tetapi saiznya sungguh comel dan menyedapkan hati. Di bahagian atas terdapat butang kuasa, bawah pula adalah kekisi pembesar suara dan port bicu audio. Sisi kanan adalah slot kad SIM nano dan akhir sekali di kiri adalah butang aras suara dan butang kawalan notifikasi. Rekaan ini sememangnya adalah rekaan ikonik iPhone yang ramai ingati. Terdapat ura-ura yang iPhone 12 kelak akan mengembalikan rekaan seperti ini. Menarik bukan?

Antaramuka

iOS sedia menjadi seistem operasi untuk semua iPhone. Tiada langsung sistem operasi lain yang dijalankan pada sesebuah iPhone. Antaramukanya juga adalah lebih kurang sama dari dulu sampai sekarang, membezakannya adalah kemasan, fungsi, ciri dan rekaan ikonografi.

iPhone SE 2016 ini menjalankan sistem operasi iOS 13.4.1 stabil yang terkini. Sungguh mengagumkan, sudah empat tahun masih mempunyai sokongan kemaskini rasmi. Cuba anda cari peranti Android 2016 yang masih mempunyai sokongan kemaskini rasmi sehingga hari ini. Pasti tiada! Jadi, jika anda bandingkan harga iPhone dan Android pada ketika itu – jelas di sini iPhone SE adalah raja!

AirDrop – Fungsi memindahkan fail antara peranti Apple ke peranti Apple dengan pantas. Fungsi inilah yang membuatkan ramai pengeluar Android mula hadir dengan variasi tersendiri.

AssistiveTouch – Fungsi yang sebenarnya bertujuan untuk orang kurang upaya. Ia mengaktifkan butang terapung yang membawakan beberapa akses ke aplikasi atau tetapan dengan pantas.

Dark Mode – Mod gelap dari Apple. Tidak kira peranti OLED atau LCD, ia turut boleh digunakan. Mod gelap ini agak pintar kerana dapat diaplikasikan kepada hampir keseluruhan sistem termasuk gambar latar belakang.

FaceTime – Fungsi panggilan video dari pengguna Apple ke pengguna Apple. Ia menggunakan Internet dan menjadi antara platform panggilan video popular Apple. Google turut hadir dengan alternatif, Google Duo.

FaceTime Audio – Fungsi panggilan suara tanpa menggunakan kredit. Ia menggunakan Internet, seperti FaceTime, cuma ini hanya audio dan tiada video.

Health – Aplikasi kesihatan dari Apple seperti Google Fit, tetapi lebih pintar. Ada pemantauan jejak langkah, boleh membuat pemantauan haid, fungsi kecerdasan minda dan banyak lagi.

Low Power Mode – Menjadikan kuasa pada iPhone lebih rendah. Tujuannya untuk menjimatkan bateri dan turut mengurangkan prestasi.

Screen Time – Seperti Digital Wellbeing, tetapi boleh memantau antara semua peranti Apple. Ada juga Do Not Disturb, Bedtime. Ia boleh memaparkan cara penggunaan peranti.

Shortcuts – Aplikasi yang memudahkan pengguna melakukan pelbagai perkara dengan mudah. Menggunakan penulisan kod yang ringkas, pelbagai aktiviti boleh dilakukan. Muat turun video, WhatsApp tanpa menyimpan nombor sebagai kenalan, integrasi dengan Siri dan banyak lagi.

Touch ID – Sistem sekuriti Apple yang dahulunya agung dan pantas. Ia adalah pengimbas cap jari yang terbina pada butang skrin utama. Kekal pantas sehingga hari ini.

Kebanyakan fungsi iOS 13 yang ada pada iPhone 11, turut disertakan pada iPhone SE ini. Ini adalah antara perkara yang memuaskan apabila menggunakan sebuah iPhone.

Kamera

Di sini susah untuk saya jelaskan. Di zaman 2016, ya kamera iPhone SE ini cantik. Malah sehingga tahun lepas atau dua tahun lepas, pada aplikasi media sosial ia kekal antara yang terbaik berbanding dengan peranti mercu Android yang moden. Tetapi, pada ketika itu sistem kamera tidak menggunakan teknologi pembelajaran mesin atau kecerdasan buatan. Hanya menggunaka pasca-proses biasa sahaja. Jadi sudah tentu ketika itu ia nampak cantik dan kemas.

Tetapi jika digunakan pada tahun ini, Subhanallah! Walaupun banyak cahaya, hingar jelas kelihatan. Fokus sedikit lari. Swafoto apatah lagi, teruk. Tetapi apa yang kekal adalah, warna. Hasil warna pada iPhone SE 2016 ini masih konsisten, iaitu memfokuskan kepada warna yang natural. Benar, ia mempunyai iOS 13 terbaru, jadi bukankah patut ada ciri dan fungsi sama dengan iPhone lain? Tidak semuanya begitu, ada juga yang memerlukan kuasa cip pemprosesan yang lebih berkuasa. Walaupun iPhone SE ini mempunyai perisian yang terkini, tetapi dalamannya sudah berusia.

Itu tidak mengapa, kerana hasil kameranya masih cukup baik untuk diterbit di media sosial. Lebih-lebih lagi Instagram Story, Snapchat dan lain-lain. Jika itu tidak mencukupi, gunakan aplikasi-aplikasi pihak ketiga seperti Moment, Photoshop Camera dan banyak lagi untuk pilihan penuras dan kawalan tambahan.

Audio

Hanya bermula pada iPhone 7 ke atas sahaja, Apple mula menggunakan pembesar suara stereo. Pada iPhone 6S Plus dan ke bawah termasuk iPhone SE semuanya adalah pembesar suara mono. Ia mampu memberi audio yang kuat dan cukup lantang, tetapi untuk kegunaan tahun ini ia tidak cukup enak.

Sekadar ingin mendengar muzik atau tonton video di bilik ketika sedang baring, tiada masalah. Jika inginkan pengalaman yang lebih imersif, gunakan sahaja set fon telinga.

Bateri

Seperti biasa, Apple dan power bank berpisah tiada. Ini adalah zaman di mana semua iPhone menggunakan bateri sekitar 2000mAh atau lebih rendah. Tetapi unit yang kami gunakan ini adalah bateri yang asal sejak 2016 lagi dan tidak pernah tukar. Jadi perlu faham, yang bateri iPhone ini sudah tidak sihat dan tidak betul.

Peratusan bateri di tetapan memaparkan 87%, yang mana sepatutnya baik lagi. Tetapi mungkin sudah dimakan usia, ia tidak bertahan seperti dahulu. Dengan sistem operasi terkini yang mempunyai pelbagai fungsi dan ciri, bateri iPhone SE ini tidak mampu bertahan walaupun setengah hari.

Sepanjang penggunaan dua hari, masa skrin aktif adalah menghampiri empat jam sahaja. Ini bermakna, satu hari adalah sekitar 2 jam. Dalam masa satu hari juga, peranti ini perlu dicas sekurang-kurangnya dua kali. Sudahlah bateri kecil dan pengecasan 5W. Masa pengecasan mengambil masa sekitar 2 jam. Kejap, SOT sama seperti Pixel 4. Wow, mengejutkan.

Penanda Aras

Skor tanda aras sudah tentu rendah untuk tahun ini. Tetapi walaupun rendah, ia masih berfungsi dengan baik. Kami menguji dengan penggunaan FaceTime, Facebook, YouTube, Twitter dan Safari, ia mampu beroperasi dengan baik. Tidak boleh membuat pelbagai keluhan, perlu sedar yang peranti ini sudah berusia. Untuk sebuah peranti yang masih bertahan walaupun sudah lama. Ia baik sekali.

AnTuTu mencatatkan skor sebanyak 137819. Manakala Geekbench 5 pula mencatatkan skor 520/929 untuk satu teras dan multi-teras.

Konklusi

Jadi, menamatkan ulasan iPhone SE 2016 ini adalah dengan menjawab soalan – adakah masih berguna dan patut digunakan peranti ini pada tahun 2020? Jawapannya ringkas, ya – tetapi bukan sebagai peranti harian. Setakat untuk penggunaan ringan atau peranti kedua, ia sudah memadai. Misal kata, anda seorang pengguna tegar Android tetapi rakan-rakan anda sudah beralih ke iOS – gunakan peranti ini sebagai medium untuk FaceTime dan iMessage.

Mustahil untuk dapatkan iPhone SE 2016 set yang baru. Apa yang anda boleh beli adalah set baru refurbished atau set terpakai. Harga jualan juga tidak lari dari RM500. Jadi selain iMessage, ia juga adalah peranti yang baik untuk media sosial seperti IG Story. Jika anda masih menggunakan iPhone SE sehingga hari ini, misal kata versi 64GB yang dijual dulu pada harga RM2449. Ini bermakna anda hanya membelanjakan sekitar RM1.70 sehari sahaja untuk memiliki sebuah iPhone.

Apa hendak buat dengan peranti ini, sekiranya Apple sudah tamatkan sokongan? Kebiasaannya, ya kemaskini sudah tiada – tetapi ia masih boleh digunakan seperti biasa sehinggalah pembangun aplikasi contohnya seperti WhatsApp umumkan penghentian sokongan. Jika sudah tiba masa sampainya waktu, jadikan sahaja peranti usang tersebut sebagai penyendal pintu premium.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Masih menerima kemaskini iOS yang terkini.
  • Kamera pada media sosial masih menyerlah.
  • Prestasi masih lancar dan dikira sebagai boleh diterima.
  • Bateri semakin lemah dengan pengecasan yang sangat perlahan.
  • Peranti mudah memanas.
  • Saiz terlampau kecil dan janggal.
  • Resolusi skrin yang tidak memuaskan.


TIPS & ULASAN