Cari @ Amanz

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac yang lalu dan perlaksanaan ini dilihat telah mengubah norma kehidupan masyarakat. Jika sebelum ini, orang ramai pergi ke pejabat untuk bekerja. Kini, mereka mengalami perubahan drastik apabila terpaksa untuk bekerja dari rumah.

Namun sebagai ingatan, itu bukanlah mudah sebaliknya menimbulkan banyak kesulitan termasuklah mengekalkan fokus untuk terus produktif, mengimbangi keutamaan lain seperti penjagaan anak dan sebagainya. Selain itu terdapat juga cabaran lain yang lebih besar seperti soal keselamatan siber yang dilihat semakin bermasalah ketika ini. Masakan tidak, kini ramai yang beralih ke platform atas talian untuk bekerja, belajar, mengakses maklumat dan kekal berhubung dengan dunia luar.

Google

Kalau kita perasan, penjenayah siber kini mula memanfaatkan penularan wabak ini sebagai umpan untuk menyebarkan perisian hasad. Sebagai contoh badan kebajikan palsu yang meminta sumbangan, laman web yang menyamar sebagai halaman rasmi kerajaan atau agensi kesihatan awam, tawaran kewangan palsu dan banyak lagi.

Sehubungan itu, Google kini secara proaktif dengan menambahkan perlindungan keselamatan lebih baik pada perkhidmatannya untuk mengenal pasti dan menghentikan ancaman secara automatik. Pada masa sama, Google juga berkongsi beberapa tips untuk membantu anda meningkatkan keselamatan dalam talian :

Pertama : Ketahui Cara Mengesan Bagi Mengelakkan Penipuan Berkaitan Covid-19

Penipuan dalam talian yang melibatkan penghantaran emel palsu kini semakin sukar untuk dikesan. Oleh itu, anda perlu bertindak bijak dengan menilai terlebih dahulu setiap maklumat yang diterima sebelum meneruskan tindakan selanjutnya. Adakah ianya selamat atau sebaliknya? Jangan sesekali klik pautan atau membuka lampiran diterima tanpa usul periksa.

Selain itu, jangan mudah percaya dengan pihak yang meminta maklumat peribadi anda. Sebaliknya, periksa terlebih dahulu identiti mereka. Hal ini kerana tidak semua pihak akan meminta maklumat peribadi melalui laman web, emel, panggilan telefon mahupun SMS. Periksa juga alamat laman web dalam bar URL bagi memastikan ia adalah rasmi dan maklumat anda dilindungi dengan selamat oleh laman web tersebut.

Kedua : Gunakan Emel Syarikat Untuk Apa Sahaja Perkara Berkaitan Kerja

Kebiasaannya, ramai antara kita yang gemar menggunakan akaun emel peribadi untuk perkara berkaitan kerja. Inilah perkara yang perlu dielakkan. Sebenarnya penting untuk kita semua mengasingkan di antara akaun emel peribadi dan syarikat. Anda disarankan untuk menggunakan akaun emel syarikat untuk apa jua perkara yang berkaitan dengan kerja.

Kebiasaannya, akaun syarikat memiliki ciri keselamatan tambahan yang menjadikan maklumat privasi sentiasa terjaga dan selamat daripada sebarang penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Sekiranya anda tidak pasti mengenainya, sila rujuk kepada pakar IT untuk lebih penjelasan berkenaan ciri keselamatan pada akaun syarikat.

Ketiga : Tingkatkan Tahap Keselamatan Pada Aplikasi Persidangan Video

Seperti kita tahu, kawalan keselamatan yang terdapat pada aplikasi Google Meet diaktifkan secara lalai untuk kesemua mesyuarat atas talian yang dilakukan. Ia bertujuan untuk memastikan keselamatan dan privasi sesebuah organisasi atau pengguna dilindungi secara automatik.

Tetapi, bagaimana pula dengan aplikasi persidangan video yang lain? Terdapat beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk meningkatkan tahap keselamatan pada aplikasi persidangan video. Antaranya : 

  • Aktifkan pengesahan keselamatan tambahan untuk memastikan hanya individu yang dijemput sahaja mendapat akses untuk persidangan
  • Sekiranya jemputan diterima memerlukan anda memasang sebarang aplikasi, pastikan anda semak untuk pengesahan terlebih dahulu

Keempat : Sentiasa Kemas Kini Keselamatan Peranti

Sikap tidak ambil peduli dengan kemas kini sistem keselamatan peranti juga menjadi punca anda terdedah kepada helah kegiatan penjenayah siber. Sebaik-baiknya, ia perlu dielakkan. Lebih-lebih lagi bila bekerja dari rumah. Keadaan tidak sama seperti di pejabat yang mana kebiasaannya peranti anda akan sentiasa dikemas kini menggunakan sambungan Internet di pejabat. Sebenarnya penting untuk kita semua mengambil tindakan segera terhadap sebarang arahan kemas kini keselamatan pada peranti. Melaluinya, segala kelemahan pada keselamatan dapat diatasi.

Kelima : Gunakan Kata Laluan Yang Kukuh & Berbeza

Elakkan menggunakan kata laluan yang sama dalam pelbagai platform. Ini merupakan perkara penting yang perlu ditekankan supaya keselamatan anda lebih terjaga. Anda disarankan untuk menggunakan kata laluan yang kompleks dan unik bagi menjaga identiti serta menjadikan akaun anda lebih selamat. Fungsi pengurusan keselamatan (Password Manager) pada aplikasi Chrome dan akaun Google juga dapat membantu anda menguruskan kata laluan yang lebih kukuh dengan mudah.

Keenam : Lindungi Akaun Google Anda

Urus kata laluan yang disimpan di akaun Google anda dengan fungsi Security Checkup. Melaluinya, anda akan menemui senarai akaun dengan kata laluan yang disimpan di dalam akaun Google dengan mudah. Selain itu, anda juga dapat membuat pemeriksaan bagi mengetahui sama ada kata laluan berkenaan telah dicerobohi atau tidak. Kemudian, menukarnya bila perlu berbuat demikian.

Ketujuh : Lindungi Anak Anda Daripada Risiko Ancaman Keselamatan

Bantu anak – anak anda untuk kenal pasti penipuan siber seperti yang terdapat di rangkaian sosial. Anda boleh menggunakan pelbagai platform untuk membantu mereka seperti bahan pembelajaran di Be Internet Awesome dan permainan pembelajaran interaktif seperti Interland. Selain itu, anda juga boleh menggunakan aplikasi Family Link yang disediakan oleh Google untuk membuat akaun yang sesuai dengan usia, mengawal muat turun aplikasi, dan memantau aktiviti anak – anak anda.

Google begitu prihatin dan memandang serius mengenai isu yang melibatkan keselamatan dalam talian. Pihaknya akan terus memantau ancaman ini demi memberi perlindungan terbaik buat semua.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd