Cari @ Amanz

Huawei hari ini telah mengumumkan tiga telefon pintar baru dibawah siri Nova 7. Tiga telefon pintar berkenaan adalah Huawei Nova 7 5G, Huawei Nova 7 Pro 5G dan juga Huawei Nova 7 SE 5G.

Ketiga-tiga telefon pintar ini hadir dengan sokongan rangkaian 5G, dan hanya diumumkan untuk pasaran China sahaja buat masa ini.

Huawei Nova 7 Pro

Paling berkuasa antara ketiga-tiga ini adalah Huawei Nova 7 Pro 5G. Ia hadir dengan skrin 6.5-inci FHD+ OLED, dijana cip Kirin 985 5G, memori 8GB RAM dan storan 256GB. Ia turut dijana dengan bateri 4000mAh, dan menyertakan pengimbas cap jari pada skrin.

Untuk rakaman gambar, ia hadir dengan sensor utama 64MP + 8MP (ultra-lebar) + 8MP (periskop) + 2MP (makro), sementara kamera swafoto 32MP + 8MP.

Huawei Nova 7 5G pula menawarkan ciri yang lebih kurang sama, tetapi dengan hanya satu kamera swafoto, iaitu 32-megapixel. Penggunaan nama “Pro” dilihat pada keupayaan swafoto pada telefon pintar berkenaan – selari dengan jenama Nova yang memfokuskan kepada swafoto dan penggunaan media sosial.

Huawei Nova 7 SE

Huawei Nova 7 SE pula adalah variasi dengan spesifikasi sedikit rendah. Ia hadir dengan skrin 6.5-inci LCD, dijana cip Kirin 820 %G, menawarkan memori 8GB RAM, dan storan 256GB. Melengkapkan ia juga adalah bateri 4000mAh dengan pengecasan pantas 40W.

Untuk rakaman gambar, ia menyertakan kamera utama 64MP + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (makro) + 2MP (kedalaman). Untuk rakaman swafoto, ia menyertakan kamera 16-megapixel, selain menyertakan sokongan bicu audio 3.5mm. Telefon pintar Nova 7 SE ini turut hadir dengan pengimbas cap jari dibahagian tepi peranti.

Buat masa ini, ketiga-tiga variasi peranti ini hanya diumumkan untuk pasaran China sahaja. Dengan penawaran peranti Nova di Malaysia sebelum ini, tidak mustahil untuk kita melihat peranti ini turut ditawarkan di Malaysia tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd