Sudah sekian lama, aplikasi Spotify pada Android TV menggunakan rekaan antaramuka yang sama. Saya sedar akan perkara ini sejak menggunakan Mi Box yang lama yang menjalankan Android TV Android 8, sehinggalah sekarang Mi Box S yang menjalankan Android TV Android 9. Antaramuka aplikasi Spotify tidak pernah berubah.
Sehinggalah baru-baru ini, akhirnya Spotify telah mengemaskini antaramuka aplikasi mereka untuk Android TV. Bar di sisi kini mempunyai tab untuk Home, Search, Your Library dan Account yang mana sedikit selari dengan antaramuka pada telefon pintar. Pada bahagian Home, ia memaparkan album atau senarai main yang baru sahaja dimainkan, memilih senarai main auto seperti Daily Mix. Manakala pada tab Search, ia memaparkan carian berdasarkan Genre & Mood. Di dalam Your Library pula, ia lebih teratur dan lebih mudah dikawal untuk sesebuah televisyen.
Antaramuka album atau bahagian Now Playing masih kekal sama. Walau bagaimanapun, ketika sesuatu muzik sedang dimainkan – latar belakang aplikasi akan berubah berdasarkan album muzik yang dipilih. Akhir sekali, bahagian Account ada pilihan Behind The Lyrics, log keluar dan menukar akaun pengguna. Kemaskini ini sepatutnya akan dikemaskini secara automatik. Jika tidak, buka sahaja Play Store di Android TV dan mulakan muat turun.