Terdahulu, rekaan sebenar LG Velvet telah dikongsi secara rasmi dan terdapat laporan mengatakan ia mungkin menyokong aksesori skrin kedua LG – Dual Screen. Kini, LG berkongsi tarikh pelancaran rasmi untuk peranti tersebut menerusi sebuah video pendek yang dikongsi di laman YouTube rasmi mereka.
Video pendek berdurasi 15 saat tersebut memperlihatkan secara kasar mengenai rekaan dan penawaran pilihan warna yang bakal dibawakan oleh peranti. Selain itu, ia juga memaparkan tarikh pelancaran pada penghujung video yang dijadualkan berlangsung pada 7 Mei ini. Difahamkan, acara pelancaran ini akan diadakan secara atas talian.
LG Velvet telah disahkan bakal menggunakan cip Snapdragon 765 5G dan kemunculannya akan menjadi sesuatu yang unik berbanding penawaran sebelum ini. Untuk ketahui lebih lanjut mengenai penawarannya, sama-sama kita tunggu pelancaran rasmi kelak.