Cari @ Amanz

Fungsi Live Caption Kelak Akan Disokong Pada Panggilan Telefon Bagi Memudahkan OKU Pendengaran

Link Copied!

Dunia ini tidak adil. Ada yang kaya ada yang miskin. Ada yang kacak ada yang kurang kacak. Ada juga yang sempurna derianya dan ada juga yang dilahirkan OKU. Golongan ini mempunyai pelbagai cabaran kerana teknologi sedia ada masih belum mantap untuk memudahkan kehidupan mereka. Live Caption ialah antara fungsi yang terbina pada beberapa peranti Android yang menghasilkan kapsyen audio secara masa nyata dan automatik. Kelak ia akan akhirnya disokong pada aplikasi telefon peranti Android.

Fungsi Live Caption ketika melakukan panggilan telefon ini ditemui di dalam kod Android 11 Developer Preview 3 oleh XDA Developer. Apabila diaktifkan, pemanggil atau penerima panggilan akan diberitahu audio akan diubah menjadi transkrip secara automatik oleh Live Caption. Memandangkan ciri ini masih belum diaktifkan dan sekadar wujud di dalam kod perisian yang masih diuji, masih terlalu awal untuk mengatakan ia akan diaktifkan kepada semua.

Ciri Live Caption pada waktu ini hanya disokong pada beberapa model Pixel, Galaxy S20, OnePlus 7T dan OnePlus 8 sahaja. Sebelum ini bagi memudahkan OKU pendengaran melakukan perbualan dengan insan yang tidak tahu bahasa isyarat ialah dengan menggunakan aplikasi Live Transcribe oleh Google. Sekiranya Live Caption akhirnya disokong pada panggilan telefon, satu halangan besar untuk OKU hidup lebih berdikari akan menjadi kenyataan.


Komen ()