Saban tahun akan wujud platform media sosial baharu yang dilihat lebih baik dari yang wujud sebelumnya. Sejak lima tahun kebelakangan ini, golongan muda lebih menggemari platform media sosial berbentuk video serta gambar seperti Snapchat dan Instagram. Tetapi platform paling tular sekarang pastinya TikTok dengan jumlah muat turun mencecah angka bilion kali. Terkini Apple turut menjadi sebuah lagi jenama yang kini mempunyai akaun rasmi di TikTok.
Pada waktu ini akaun rasmi Apple di TikTok masih belum memuat naik sebarang video tetapi telahpun mempunyai lebih lima ribu pengikut. Seperti strategi mereka di platform media sosial lain, akaun rasmi TikTok ini akan digunakan untuk mempromosikan pelbagai produk mereka.
Apa yang kami sedari sejak setahun lalu ialah persepsi masyarakat terhadap TikTok yang berubah 180 darjah. Ia dahulunya dilihat sebagai platform video pendek yang menjengkelkan tetapi kini dipenuhi pelbagai selebriti ternama, organisasi sukan (seperti WWE) dan jenama-jenama besar.