Cari @ Amanz

Telegram Kini Mempunyai Lebih 400 Juta Pengguna Aktif Bulanan

Link Copied!

Aplikasi pemesejan Telegram telah mengumumkan mereka kini mempunyai 400 juta pengguna aktif bulanan di dalam sebuah blog yang baru diterbitkan. Ini adalah peningkatan dari 300 juta pengguna bulanan tahun lalu. Sejak mula beroperasi tujuh tahun yang lalu, Telegram semakin popular kerana dilihat sebagai aplikasi pemesejan yang lebih selamat dan menjadi pilihan mereka yang mementingkan privasi.

 Serentak dengan pengumuman 400 juta pengguna, Telegram kini menyokong penghasilan kuiz untuk pendidikan. Sistem kuiz yang diperkenalkan sebelum ini akan dipertingkatkan bagi membolehkan Telegram digunakan sebagai platform pendidikan sepanjang tempoh kuarantin global. Apabila jawapan salah diberikan, ciri kuiz boleh memberikan petunjuk dimanakah kesilapan dilakukan.

Pada waktu yang sama telegram mengumumkan dana €400,000 (~RM 1.88 juta) untuk pembangun menghasilkan kuiz pendidikan dalam apa sahaja mata pelajaran dan bahasa. Tempoh tamat penghasilan kuiz ini ialah pada 15 Mei.

Seterusnya direktori baharu akan diperkenalkan untuk pelekat. Sebanyak 20,000 pelekat Telegram yang dihasilkan sejak lima tahun yang lalu boleh dicari diletakkan di dalam kategori berbeza bagi memudahkan carian.

Angka 400 juta yang diumumkan oleh Telegram ini boleh dibanggakan tetapi mereka masih jauh di belakang WhatsApp yang mempunyai 2 bilion pengguna bulanan. Sungguhpun begitu Telegram lebih inovatif dengan ada fungsi yang diperkenalkan oleh mereka kemudiannya diperkenalkan pula oleh WhatsApp pada aplikasi mereka.


Komen ()