Menerusi LG Velvet, LG ingin mencuba rekaan baharu untuk peranti mereka yang kini semakin jarang dilihat di pasaran. Berdasarkan reaksi pembaca terhadap rekaan yang telah diperlihatkan sendiri oleh LG, ramai yang merasakan ia adalah peranti yang mampu menarik perhatian. Hari ini spesifikasi LG Velvet akhirnya telah tertiris ke arena web.
Sebelum ini hanya penggunaan Snapdragon 765G dan sokongan 5G disahkan. Kini kita turut mengetahui ia akan dilengkapi 8GB RAM, storan 128GB, kamera utama 48+8+5 MP, kamera swafoto 16MP dan bateri sebesar 4300 mAh.
Sistem kamera utama menyokong lensa sudut lebar, sudut ultra lebar dan pengesan kedalaman sahaja. Tiada sokongan zum optikal diberikan. Peranti turut menyokong pengecasan nirwayar serta mempunyai kemampuan kalis air IP68. Seperti majoriti peranti pintar Android di pasaran, sebuah pengimbas cap jari diletakkan di bawah skrin. LG Velvet akan dilancarkan secara rasmi di Korea Selatan pada 7 Mei hadapan.