Nintendo merupakan salah satu syarikat yang tidak asing lagi dalam penawaran konsol permainan – selain sejumlah permainan video tersendiri yang popular. Terbaru, mereka mengumumkan yang mana terdapat sekitar 160,000 akaun Nintendo Network ID yang telah diceroboh pada awal April 2020 lepas.
Menurut Nintendo, antara data yang diakses oleh pencerobohan data ini adalah termasuk nama samaran, tarikh lahir, negara dan juga alamat emel. Nintendo turut mengatakan terdapat beberapa akaun yang memperlihatkan pembelian oleh penceroboh berkenaan.
Nintendo mengatakan mereka telah nyah-aktifkan ciri log masuk ke akaun Nintendo melalui Nintendo Network ID, dan telah menetapkan semula kata laluan untuk akaun yang terkesan.
Nintendo telah memaklumkan akaun terlibat, dan meminta para pengguna untuk mengaktifkan sokongan pengesahan dwi-faktor. Selain itu, sekiranya anda terkesan, anda turut diminta menyemak sejarah pembelian pada akaun Nintendo anda, dan menghubungi Nintendo sekiranya terdapat pembelian atau penggunaan yang mencurigakan.