Carian
Peranti Skrin E-ink Berwarna Hisense A5 Pro CC Dan A5C Mampu Beroperasi Sehingga Hampir 4 Hari
April 26, 2020 Effi Saharudin

Secara lazimnya skrin e-ink hanya mampu memaparkan imej monokrom. Ia menjadi pilihan peranti pembaca ebuku kerana kurang menggunakan bateri dan boleh beroperasi secara pasif. Dengan kemajuan teknologi, e-ink yang memaparkan warna telah dihasilkan dan Hisense telah melancarkan dua telefon pintar Android dengan skrin ini.

Hisense A5 Pro CC ialah peranti dengan skrin 5.84″ e-ink berwarna, dijana cip UNISOC Tiger T610, memori sehingga 6GB, storan sehingga 128GB, kamera utama 13-Megapixel, kamera swafoto 5-Megapixel dan bateri sebesar 4000 mAh. Pengecasan 10W disokong menerusi port USB-C dan peranti turut menggunakan sistem operasi Android 10.

Hisense A5C pula adalah peranti dengan skrin 5.84″ e-ink berwarna, dijana cip Snapdragon 439, memori sehingga 4GB, storan sehingga 64GB, kamera utama 13-Megapixel, kamera swafoto 5-Megapixel dan bateri sebesar 4000 mAh. Pengecasan 10W disokong menerusi port USB-C. Ia masih menggunakan Android Pie.

Walaupun ditawarkan sebagai skrin berwarna, skrin e-ink yang digunakan sekadar boleh memaparkan 4096 warna sahaja. Ini walau bagaimanapun adalah jauh lebih banyak berbanding 16 warna sahaja pada skrin e-ink monokrom. Sekiranya skrin digunakan pada keterangan maksimum, ia mampu beroperasi sehingga 62 jam. Jika lampu belakang skrin dimatikan tempoh operasi meningkat ke 93 jam.

Di China Hisense A5 Pro CC dijual pada harga bermula RMB 1799 (~RM1107)  manakala Hisense A5C dijual pada harga RMB1699 (~RM1046) sebuah.

Komen