Pada penghujung Mac yang lalu sebuah firma di Itali memperlihatkan konsep hospital segera CURA (Connected Units for Respiratory Ailments) bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan wad kecemasan di negara tersebut akibat wabak Covid-19. Selepas hampir sebulan diperlihatkan, CURA kini menjadi realiti dan digunakan di sebuah hospital sementara di Turin Itali.
Prototaip pertama ini hanya berfungsi sebagai bilik kecemasan sementara yang mampu menempatkan dua orang pesakit. Ia dilengkapi sistem bantuan pernafasan, mesin pemantauan nadi dan bermacam-macam lagi. Pada bahagian luar kontena terdapat khemah gelembung udara tekanan negatif yang memastikan udara dari bilik kecemasan CURA tidak akan menghembus keluar.
Cermin kaca pada sisi kontena pula membolehkan sanak saudara melawat pesakit yang tenat atau memberi penghormatan terakhir sebelum menghembuskan nafas dengan jarak selamat. Hanya satu kontena modular CURA beroperasi pada waktu ini memandangkan situasi di Itali sudah mula menunjukkan trend penurunan kes baharu.
Menurut firma Carlo Ratti Associati yang mereka CURA. Selain di Itali dua lagi kontena konsep CURA sedang dibina untuk negara Kanada dan Emiriah Arab Bersatu. Sejak rekaan mereka diperlihatkan, Carlo Ratti Associati menerima banyak pertanyaan dari negara luar yang berminat untuk menggunakan pakai CURA bagi tujuan menghasilkan hospital kecemasan sementara Covid-19.