Cari @ Amanz

MIUI 12 telah diumumkan secara rasmi oleh Xioami petang semalam semasa pelancaran Mi 10 Lite 5G versi China. Pelancar terkini berasaskan Androdi 10 ini akan digunakan pada peranti Xiaomi dan Redmi. Perubahan pertama yang dilakukan ialah antaramuka dengan elemen yang lebih kemas, animasi lebih lancar dan kelihatan lebih pantas. Ikon-ikon adan antaramuka kelihatan lebih rata berbanding versi terdahulu.

Beberapa animasi baharu turut diperkenalkan. Antara yang paling menarik perhatian kami ialah pada skrin kekunci terdapat imej planet yang beranimasi. Apabila peranti dinyahkunci, terdapat animasi zum ke permukaan planet tersebut dengan pantas. Terdapat juga animasi memadam aplikasi yang ingin dinyahkunci baharu. Aplikasi yang dipadam akan “meletup” menjadi kepingan konfeti.

Seterusnya ialah penambahbaikan pada kawalan gestur yang kini menggunakan sepenuhnya dari Android Asli. Dengan gestur yang semakin seragam, pengguna Android tidak perlu mempelajari cara kawalan baharu apabila menggunakan MIUI 12.

Aplikasi Mi Health pula boleh menjejak pola tidur pengguna lengkap dengan pengesanan REM ketika tidur dengan nyenyak. Terdapat juga sistem pembantu maya berkecerdasan buatan yang melakukan panggilan automatik seakan Google Duplex.

Akhir sekali ialah mod gelap baharu yang akan menggelapkan bukan sahaja imej latar belakang tetapi turut mengurangkan keterangan huruf pada skrin serta ketebalannya bagi mengelakkan kesakitan pada mata pengguna. Ini adalah ciri yang amat unik kerana jarang dilihat sebelum ini. MIUI 12 versi stabil China akan diberikan kepada peranti terpilih bermula Jun hadapan Versi ujian Beta pula akan dibuka kepada pengguna di China bermula esok.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd