Honor ialah subjenama Huawei yang sebelum ini dilancarkan bagi menawarkan peranti yang lebih mampu milik secara atas talian. Kemudian mereka memasuki arena jam tangan pintar, peranti berhubung, komputer riba dan paparan pintar. Di China mereka telah melancarkan pula mesin penyedut hampagas pertama mereka.
Mesin penyedut hampagas ini adalah dari jenis nirwayar menyerupai yang ditawarkan oleh Dyson, Samsung dan Xiaomi. Dengan berat 1.6 kilogram, tangan pengguna tidak akan mudah terasa penat ketika melakukan proses membersihkan rumah. Menurut Honor mesin penyedut hampagas ini turut mampu menapis 99.99% bakteria kerana menggunakan penapis dengan ion perak.
Dengan sekali caj, bateri 2500 mAh yang digunakan mampu memberi tempoh operasi sehingga 65 minit pada mod biasa atau 10 minit pada mod kuasa tinggi. Di China ia dijual pada harga RMB1299 (~RM800) sebuah.