Carian
AMD
AMD Dilaporkan Menyokong DDR5 Dan PCIe 5.0 Menjelang 2022
April 28, 2020 Nazrin

Dengan siri CPU Zen 2 mereka yang diperkenalkan pada tahun lalu, AMD merupakan pembuat cip komputer pertama yang menyokong teknologi penghantaran data PCIe 4.0 yang digunakan bukan sahaja untuk penghantaran data melalui kad grafik, tetapi juga storan SSD.

Terkini, sebuah laporan daripada laman web teknologi dari China, MyDrivers, AMD nampaknya akan terus mara dalam menyokong teknologi-teknologi komputer terbaru di masa akan datang. Menurut MyDrivers, AMD akan mula menyokong teknologi DDR5 dan juga PCIe 5.0 menjelang 2022 kelak.

Sokongan ini akan tiba apabila AMD memperkenalkan CPU AMD Zen 4 yang akan dibina menggunakan teknologi 5nm TSMC, dimana cip-cip DRAM yang akan digunakan untuk memori DDR5 akan mula dibangunkan oleh SK Hynix sekitar tahun ini.

DDR5 dilaporkan bukan sahaja akan hadir dengan kelajuan asas sepantas 3200MHz hingga 8400MHz, tetapi juga mempunyai jumlah memori sebanyak 64GB didalam satu batang modul RAM. Ia tidak diketahui lagi jika komponen untuk golongan pengguna akan menerima sokongan ini secara terus, tetapi kebarangkalian besar ia akan tiba terlebih dahulu untuk mesin-mesin pelayan yang menggunakan CPU Threadripper ataupun EPYC.

Komen