Cari @ Amanz

Xiaomi semalam telah melancarkan Mi 10 Lite 5G untuk pasaran China, sekali gus menjawab segala persoalan mengenai Mi 10 Lite versi global yang diperkenalkan beberapa minggu lalu. Bersama-sama dengan pelancaran ini, Xiaomi turut melancarkan dua aksesori audio nirwayar baharu.

Pertama adalah Xiaomi Line Free Bluetooth Headphones, iaitu set fon telinga nirwayar bertali dengan fon telinga yang bermagnet.  Ia hadir dengan teknologi Qualcomm aptX dan masa pendam 80ms. Ia turut menggunakan teknologi DSP+cVC untuk panggilan suara yang lebih jelas. Selain itu, ia juga mempunyai alat kawalan terbina untuk kawalan media dan seruan pembantu digital. Untuk ketahanan bateri, Xiaomi menjanjikan ketahanan sehingga 9 jam dan 2.5 jam ketahanan dengan 10 minit pengecasan melalui port USB-C.

Aksesori audio kedua adalah Mi Bluetooth Headset Youth Edition (LYEJ07LS). Ia adalah sejenis fon telinga untuk panggilan telefon. Xiaomi mengekalkan rekaan yang sama denga model-model beberapa tahun lepas. Kali ini ia menggunakan teknologi Bluetooth 5.0, teknologi DSP untuk pengurangan bunyi hingar ketika panggilan suara dan mampu mengurangkan gangguan rangkaian 4G. Seperti model sebelumnya, ia juga mempunyai butang kawalan terbina di bawah. Ia kini dilindungi dengan lapisan nano untuk mengelak dari kesan kotoran minyak. Ketahanan bateri pula adalah 4 jam dan mempunyai jarak Bluetooth 10 meter.

Kedua-dua aksesori audio ini sudah boleh dibeli di Xiaomi China pada harga RMB 199 untuk Line Free, iaitu sekitar RM123 dan RMB 59 untuk fon telinga tadi, yang mana adalah sekitar RM37.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd