Realme Watch adalah jam tangan pintar yang bakal Realme lancarkan tidak lama lagi. Realme baru-baru ini telah mula menyertai arena peranti boleh pakai dengan produk pertama mereka Realme Band. Terkini, melalui laporan XDA – antaramuka Realme Watch dan rekaannya telah tertiris. Realme Watch jelas sekali dilihat memfokuskan pemantauan kecergasan.
Realme Watch dikatakan akan menggunakan skrin sesentuh 1.4-inci TFT LCD dengan rekaan segi empat yang mempunyai bezel tebal dan turut memaparkan logo Realme di bahagian dagu. Pada sisi jam turut kelihatan satu butang fizikal, mungkin untuk mengawal jam ini seperti kembali ke skrin utama, membuka aplikasi atau mungkin hanya butang kuasa. Tali jam pula dilihat jenis kekal dan mungkin tidak boleh ditukar. Ia turut akan mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP68, Bluetooth 5,0 dan sokongan GPS, sensor pemecutan, pengimbas nadi dan juga sensor membaca tahap oksigen dalam darah.
Jam tangan pintar ini dikatakan akan menjalankan sistem operasi tersendiri yang dilihat mirip sistem pada Realme Band. Ia juag berkemungkinan adalah sejenis Realme Band dengan bentuk seakan jam tangan pintar. Jadi tidak terkejut jika harga jualannya adalah rendah. Bateri dikatakan adalah 160mAh dengan ketahanan sehingga 7 hari. Secara tidak langsung, Realme Watch ini mungkin adalah jawapan kepada Huami untuk bersaing dengan jualan Amazfit Bip.
Berdasarkan antaramuka yang diperoleh XDA, ia jelas sekali memfokuskan pemantauan kecergasan, seperti menjejak langkah perjalanan, aktiviti sukan, kawalan asas peranti seperti mengawal muzik, mencari lokasi peranti, berfungsi sebagai pengatup kamera dan juga notifikasi dan cuaca. Dengan penularan wabak Covid-19 ini, tidak pasti bila Realme akan melancarkan Realme Watch. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.