Carian
Google Mengemaskini Antaramuka Bahagian Perkongsian Google Drive, Docs, Sheets & Slides
April 29, 2020 Fahim Zahar

Versi web perkhidmatan storan awan Google Drive, Google Docs, Google Sheets dan Google Slides kini dikemaskini dengan antaramuka lebih mesra pengguna. Kemaskini antaramuka ini bukan pada keseluruhan, tetapi hanya pada bahagian perkongsian sahaja.

Kemaksini ini lebih memfokuskan kepada cara berkongsi fail, seperti butang salin pautan yang lebih mudah, tetingkap perkongsian baharu yang lebih jelas, ikonografi baharu, dan beberapa perkara lain. Berikut adalah senarai log perubahan yang Google berikan;

  • Antaramuka yang diasingkan, memfokuskan tugasan.
    • Tetingkap perkongsian kini memfokuskan kepada perkongsian fail, mengubah akses kebenaran dan akses melihat fail. Rekaan baharu ini mengasingkan perkongsian pautan antara individu dan berkumpulan.
  • Butang salin pautan pantas.
    • Butang ini ditambah bagi memudahkan menjana pautan perkongsian fail tanpa mengubah akses kebenaran.
  • Lebih mudah melihat akses yang terkini.
    • Melalui antaramuka baharu ini, ia lebih jelas siapa yang mempunyai akses kepada sesuatu fail dan lebih mudah membuat pemantauan seperti menukar akses kebenaran.

Kemaskini ini akan diedarkan secara berperingkat bermula dari semalam, 28 April sehingga 26 Mei akan datang.

Komen