Huawei telah memperkenalkan peranti dengan rekaan boleh-lipat menerusi penawaran Huawei Mate X dan Mate Xs. Kedua-dua peranti tersebut hadir dengan inovasi menarik yang meletakkannya dalam kelas tersendiri. Nampaknya, Huawei bakal memperluaskan lagi penawaran di bawah segmen ini apabila mereka dikatakan telah memfailkan paten baru untuk reka bentuk tersebut.
Difahamkan, Huawei membuat permohonan sekitar 12 Julai yang lalu dan paten tersebut telah diluluskan baru-baru ini. Terdapat 16 imej produk tersedia yang memaparkan reka bentuk peranti dari beberapa sudut pandang. Rekaan terbaru ini kelihatan seperti boleh diperluas sehingga ukuran tablet dengan paparan fleksibel di bahagian dalam yang agak menyerupai Samsung Galaxy Fold. Namun, tiada sebarang persediaan kamera swafoto yang kelihatan pada bahagian ini.
Imej dikongsi turut memperlihatkan peranti ini bakal memiliki paparan tambahan di bahagian luar dengan persediaan empat kamera yang disusun secara menegak. Salah satu daripada kamera tersebut dilihat berbentuk persegi yang mana Huawei nampaknya merancang untuk melengkapkan penawaran kali ini dengan lensa keupayaan zum.
Desas-desus mengatakan Huawei mungkin memperkenalkan peranti ini sekitar Oktober pada tahun ini. Bagaimanapun, maklumat ini masih di peringkat ura-ura dan belum disahkan sepenuhnya. Mungkin kita akan mendengarnya lebih lanjut pada masa akan datang.